Kastam rampas cecair vape, arak, dadah, kereta mewah, TV lebih RM6.37 juta - Utusan Malaysia

Kastam rampas cecair vape, arak, dadah, kereta mewah, TV lebih RM6.37 juta

Cecair
NORLELA Ismail menunjukkan cecair nikotin yang dirampas pada sidang akhbarnya di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebanyak 13.1 tan metrik cecair nikotin antara yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi serbuan dan pemeriksaan pihak berkuasa itu di Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Julai lalu.

Operasi yang dilakukan oleh JKDM Unit II Zon Tengah (Selangor) itu turut merampas kereta mewah, ganja, minuman keras dan televisyen dengan jumlah nilai rampasan dan cukai lebih RM6.37 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, cecair nikotin yang dirampas itu bernilai RM1.3 juta merupakan barang larangan import dikesan dibawa masuk ke negara ini dalam sebuah kontena bersaiz 20 kaki melalui Pelabuhan Utara.

Menurutnya, bahan dipercayai untuk kegunaan rokok elektronik itu diikrarkan sebagai cecair nyahkuman, ‘disinfectant (washing preparation)’ bagi mengelak daripada dikesan pihak kastam.

“Bagi kereta mewah pula, sebanyak 11 unit pelbagai jenama seperti Porsche, Mini dan Mercedez dengan nilai dagangan dan cukai berjumlah RM3.7 juta dirampas sepanjang Julai hingga Ogos lalu menerusi Operasi (Op) Longkai dekat gudang penyimpanan di Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara.

“Hasil pemeriksaan, kereta import berkenaan tidak mempunyai lesen import dan disimpan digudang berkenaan, namun pengimportnya gagal mengemukakan permit kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi kenderaan itu,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Tambahnya, bagi ganja dan minuman keras, kedua-dua bahan masing-masing dengan kuantiti 1.7 kilogram dan 27,000 liter itu dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Zon Bebas Pelabuhan Utara.

“Empat bungkusan kurier ganja bernilai RM13,995 dirampas pada 16, 22 dan 29 Ogos lalu yang cuba dibawa masuk dengan diikrar sebagai teh cina, teh Thailand, ‘preivm thai tea’ dan cenderamata bagi mengelak daripada dikesan.

“Sementara arak bernilai RM1.155 juta pula cuba dibawa masuk melalui dua buah kontena dan diikrarkan sebagai kabinet cermin dan kelengkapannya di dalam manifes bagi mengelak daripada dikesan. Namun, dirampas pada 2 September lalu.

“Bagi televisyen, barangan elektrik tidak berjenama bernilai RM200,343 itu dirampas selepas pemeriksaan terhadap sebuah kontena pada 5 September lalu di Pelabuhan Barat. Ia diikrar sebagai alat penimbang dan dikesan tidak mempunyai permit import,” jelasnya.

Dalam pada itu, Norlela memberitahu, bagi rampasan dadah, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B AKta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup berserta minimum 12 sebatan.

“Bagi rampasan cecair nikotin, minuman keras, kereta mewah dan televisyen disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda atau RM100,000 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 dan penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Justeru, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain dan dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut,” tegasnya.

Katanya lagi, orang ramai diseru memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.

“JKDM memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN