Kastam rampas 3.3kg dadah dihantar secara pos - Utusan Malaysia

Kastam rampas 3.3kg dadah dihantar secara pos

ABDUL Ghafar Mohamad (tengah) menunjukkan rokok dan minuman keras yang dirampas dalam serbuan di negeri Perak sejak bulan lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menyita pelbagai jenis dadah seberat 3.3 kilogram menerusi rampasan bungkusan yang dikirim menggunakan perkhidmatan pos sejak bulan lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, sitaan dengan nilai rampasan berjumlah RM13,331.40 itu dijalankan di dua buah Pejabat Pos di Ipoh.

Katanya, dadah yang dirampas itu disyaki untuk edaran kepada pelanggan.

“Siasatan awal mendapati, terdapat kegiatan menggunakan kaedah pos atau kurier sebagai cara penghantaran atau pengedaran barang terlarang tersebut.

“Seramai dua lelaki ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Dadah yang dirampas juga telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan beliau berkata, sebanyak 387,788 batang rokok dan 2,273.53 liter minuman keras tidak bercukai bernilai RM410,008.28 dirampas dalam operasi di seluruh negeri sejak bulan lalu.

Beliau berkata, rokok dan minuman keras pelbagai jenama disyaki barang kawalan itu membabitkan jumlah rampasan dalam tempoh dua bulan.

Katanya, dalam operasi itu, seramai 13 lelaki dan seorang wanita telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati, pemilikan dan penjualan rokok serta minuman keras berkenaan tidak mempunyai setem cukai di premis perniagaan.

“Nilai dagangan bagi 387,788 batang rokok yang dirampas membabitkan duti dan cukai sebanyak RM 318,406.33 dan bagi 2,273.53 liter minuman keras pula sebanyak RM91,601.95,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN