Kartel Perkeso: MMA sokong siasatan SPRM, penguat kuasa lain

Kartel Perkeso: MMA sokong siasatan SPRM, penguat kuasa lain

Presiden MMA, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyokong siasatan dijalankan terhadap pengamal perubatan yang didapati terlibat dengan kes pemalsuan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, MMA bimbang dengan penglibatan kakitangan perubatan di Pulau Pinang itu dengan kartel Perkeso.

Kata beliau, integriti sistem penjagaan kesihatan adalah penting maka sebarang salah guna kepercayaan oleh pengamal perubatan adalah suatu perkara yang serius.

“Kami menggesa semua pihak membenarkan pihak berkuasa yang berkenaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung perkara ini.

“Proses yang wajar dipatuhi adalah penting untuk memastikan penyiasatan yang adil dan teliti terhadap dakwaan itu. Semua pihak yang disoal atau disiasat harus dilayan secara adil dan diberi pendengaran yang adil,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, sebanyak lima doktor pakar tulang daripada 36 individu yang dipercayai terbabit de­ngan kartel pemalsuan tuntutan Perkeso yang berjumlah RM2.1 juta sejak 2017.

Kesemua mereka yang terlibat itu kini direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan.

Modus operandi yang di­gunakan kartel itu adalah dengan membuat tuntutan palsu melibatkan kecederaan pada bahagian tulang belakang dan ligamen anterior cruciate (ACL).

Dalam pada itu, Dr Kalwinder berkata, siasatan perlu dijalankan pada waktu yang tepat atau meminimumkan sebarang kemungkinan gangguan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“MMA berdiri teguh menentang sebarang bentuk rasuah atau tingkah laku tidak beretika dalam profesion perubatan.

“Kami akan menyokong sepenuhnya pihak berkuasa dalam usaha mereka untuk menegakkan undang-undang dan melindungi kepercayaan orang ramai terhadap sistem penjagaan kesihatan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN