Karnival pendidikan lonjak prestasi murid Orang Asli, peribumi

Karnival pendidikan lonjak prestasi murid Orang Asli, peribumi

PERMAINAN robotik antara yang menjadi tarikan pelajar dalam Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi (OAP) Peringkat Kebangsaan 2024 yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi (OAP) Peringkat Kebangsaan 2024 yang dianjurkan baru-baru ini menjadi platform penting bagi memastikan murid-murid Orang Asli dan peribumi mendapat peluang setara untuk terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Inisiatif tersebut bukan sahaja menyokong pembelajaran di luar bilik darjah tetapi juga membentuk potensi pelajar melalui pelbagai aktiviti yang mencabar minda dan fizikal.

Karnival tersebut memberi peluang kepada murid-murid Orang Asli dan peribumi untuk mengembangkan potensi dalam tiga domain utama iaitu bahasa, seni dan budaya, serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) agar setanding dengan rakan-rakan mereka di arus perdana.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kedaik, Mohammad Farid Abdullah, berkata, sekolah mereka memberi sokongan penuh kepada pelajar-pelajar, khususnya dalam program Bahasa Inggeris.

Menurutnya, sokongan tersebut tidak hanya terbatas kepada penyediaan latihan dan bimbingan tetapi melibatkan pendedahan kepada pelbagai pertandingan di peringkat sekolah dan negeri.

“Di SK Kedaik, kami memastikan semua murid termasuk anak-anak Orang Asli, mendapat peluang yang sama untuk berkembang. Kami percaya bahawa setiap pelajar memiliki potensi tersendiri, dan menjadi tanggungjawab kami sebagai pendidik membantu mereka mengembangkan bakat tersebut.

SEBAHAGIAN murid Orang Asli dan peribumi yang terlibat dalam aktiviti pameran pada Karnival Pendidikan murid Orang Asli dan Peribumi di ibu negara baru-baru ini.“Oleh itu, program dan pertandingan bahasa Inggeris yang dianjurkan menjadi platform yang efektif kepada pelajar menonjolkan bakat dan minat mereka terhadap bahasa ini,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sokongan daripada guru-guru yang berdedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar dalam menyertai pelbagai program tersebut adalah kunci kepada kejayaan mereka.

“Sokongan daripada seluruh warga sekolah, termasuk guru-guru yang sentiasa memberi motivasi dan bimbingan, serta kerjasama erat dengan ibu bapa memberi impak positif kepada pencapaian murid-murid kami.

“Kami bangga melihat mereka berjaya dan berharap usaha ini akan terus membuahkan hasil yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya. Karnival tersebut melibatkan guru dan murid sekolah OAP di bawah Inisiatif #57. Seramai 185 murid, 100 guru pengiring atau pembimbing, 18 pempamer, 34 orang hakim dan 106 ahli sekretariat terlibat dalam menjayakan karnival berkenaan yang merangkumi aktiviti pameran dan 10 acara yang dipertandingkan iaitu kajian tindakan guru, nyanyian solo, nyanyian duet, deklamasi puisi, bercerita bahasa Melayu, bercerita bahasa Inggeris, pembacaan berita bahasa Melayu, pembacaan berita Bahasa Inggeris, Young Innovators Challenge dan pertandingan robotik.

Pertandingan robotik disertai 10 pasukan terdiri daripada tiga orang murid OAP dan seorang guru pembimbing.

Pertandingan dianjurkan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Petrosains Sdn. Bhd. Sebanyak 10 pasukan ini juga layak untuk bertanding dalam siri seterusnya, iaitu di The Petrosains RBTX Challenge 2024. Antara rakan sinergi lain yang menjayakan karnival tersebut adalah Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan Yayasan Didik Negara.

Majlis perasmiannya yang dihadiri lebih 500 orang peserta disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, penganjuran karnival tersebut sejajar dengan Teras Keempat Kementerian Pendidikan, yang memberi perhatian khusus kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi dalam kalangan murid Orang Asli dan peribumi.

Jelas beliau, usaha tersebut bertujuan merapatkan jurang pendidikan yang wujud dan memastikan setiap pelajar menerima pendidikan berkualiti.

“Karnival ini bukan sahaja sebagai platform untuk murid-murid Orang Asli dan peribumi menonjolkan bakat, namun memastikan perkembangan mereka selari dengan murid-murid di arus perdana, sekali gus menyokong usaha Kementerian Pendidikan dalam memperkasakan pendidikan untuk semua,” katanya

 

Ibu bapa sambut baik karnival memberangsangkan

 

WONG Kah Woh (lapan dari kiri) bersama perserta Karnival Pendidikan Orang yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

 

Sambutan daripada ibu bapa terhadap penyertaan anak-anak mereka dalam karnival ini juga sangat memberangsangkan.

Menurut Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kedaik,Mohammad Farid Abdullah, mereka menunjukkan sokongan penuh dengan ada yang hadir menggunakan bas sendiri untuk memberi semangat kepada anak-anak mereka.

“Saya berharap Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi ini dapat dianjurkan setiap tahun.

“Dengan adanya pertandingan sebegini, kita dapat menggalakkan lebih ramai pelajar untuk tampil kehadapan dan mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Nia Annalenny Sharil, 11, merupakan contoh cemerlang murid Orang Asli yang memanfaatkan peluang ini dan aktif menyertai pertandingan bercerita Bahasa Inggeris serta dengan bimbingan intensif daripada guru-guru yang berdedikasi.

Prestasi di peringkat negeri membuktikan bahawa sokongan yang diberikan oleh sekolah mampu membuahkan hasil yang membanggakan.

“Saya memang minat Bahasa Inggeris sejak kecil dan sebab itu saya memilih untuk sertai pertandingan bercerita Bahasa Inggeris.

“Guru-guru di sekolah banyak mengajar saya dan kawan-kawan dalam Bahasa Inggeris dan pertandingan lain seperti choral speaking dan menyanyi,” katanya.

Susulan karnival peringkat negeri 2024 yang dikendalikan sepenuhnya oleh jabatan pendidikan negeri (JPN), karnival peringkat kebangsaan pula dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan JPN Perak.

Lapan lagi JPN yang bertindak sebagai ahli jawatankuasa bersama adalah JPN Selangor, JPN Kelantan, JPN Pahang, JPN Terengganu, JPN Johor, JPN Negeri Sembilan, JPN Sabah dan JPN Sarawak.

Majlis Perasmiannya yang yang dihadiri lebih 500 orang peserta disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Woang Kah Woh, manakala majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan JPN Perak. – UTUSAN

 

 

. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN