Kanak-kanak mati lemas, polis siasat unsur kecuaian - Utusan Malaysia

Kanak-kanak mati lemas, polis siasat unsur kecuaian

FISOL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Polis tidak menolak kemungkinan faktor kecuaian menjadi sebab seorang kanak-kanak lemas dalam kejadian di Lorong Seri, Alor Setar semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, sehubungan dengan itu pihaknya akan memanggil keluarga kanak-kanak berkenaan bagi siasatan lanjut.

“Siasatan itu menjurus kepada kecuaian kerana lokasi berlaku ada parit. Dalam keadaan begini ibu bapa semua ketua keluarga, mesti bertanggungjawab menjaga keselamatan keluarga masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.

Katanya, hasil bedah ke atas kanak-kanak itu mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2021 kerana pengabaian dan kecuaian oleh penjaga. 

Beliau pada masa sama menasihatkan ibu bapa agar menjaga keselamatan anak masing-masing ketika musim banjir ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia disyaki lemas setelah terjatuh dalam longkang dalam kejadian banjir di Lorong Seri, di sini semalam.

Difahamkan mangsa, Noraisyah Misha Afifah Abdul Fatah keluar bermain bersendirian di luar rumahnya di kawasan itu kira-kira pukul 3 petang.

Dalam perkembangan berkaitan, Fisol mengingatkan orang ramai khususnya pencipta kandungan di media sosial agar tidak mengambil kesempatan terhadap kesengsaraan orang lain.

“Kalau mereka buat kandungan yang boleh membantu pihak penguatkuasa contohnya menyalurkan maklumat berkaitan banjir, itu tidak apa kerana ia akan membantu semua pihak. Tetapi, kalau mereka suka-suka buat video untuk naikkan ‘rating’, itu tidak boleh.

“Sekiranya polis kesan ada pihak buat siaran langsung di tempat bahaya, kita akan sekat dan ambil tindakan,” katanya mengulas keghairahan sesetengah penduduk negeri ini yang sanggup berkunjung ke kawasan banjir semata-mata untuk kandungan media sosial masing-masing.

Sementara itu, beliau turut mengarahkan anggota polis di setiap daerah dan kawasan terjejas banjir untuk melakukan rondaan berkala bagi memastikan tiada kejadian jenayah seperti pecah rumah di kediaman mangsa banjir.

“Apabila berlaku bencana ini, biasanya orang tidak mahu berpindah kerana sayangkan harta tetapi dalam keadaan ini, nyawa lagi penting. Kita juga mengenalpasti lorong-lorong tikus di kawasan yang sukar untuk dimasuki oleh anggota polis bagi memastikan tiada kejadian jenayah yang berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN