Kanak-kanak madrasah tinggal dalam keadaan sesak

Kanak-kanak madrasah tinggal dalam keadaan sesak, tidur tilam nipis

ANGGOTA penguat kuasa JHEAINS membuat pemeriksaan di madrasah kanak-kanak yang dipercayai milik syarikat berkaitan produk Islam di Kuala Pilah pada minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seramai 40 penghuni kanak-kanak sebuah madrasah yang disyaki mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat berkaitan produk Islam terpaksa tinggal dalam keadaan sesak malah hanya disediakan tilam nipis.

Perkara itu terbongkar selepas Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membuat pemeriksaan di dua buah rumah madrasah itu di sini, minggu lalu.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pemeriksaan pada 6 September itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkaitan berhubung dakwaan berlakunya perbuatan liwat membabitkan penghuni di situ.

“Jadi kami telah ke lokasi membuat pemeriksaan dan sebaik tiba, didapati seramai 40 kanak-kanak lelaki anggaran usia tujuh hingga 12 tahun ada di dalam premis berkenaan.

“Ada di antara mereka sedang solat Asar dan ada juga melakukan aktiviti lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zaki, hasil semakan mendapati, madrasah itu tidak didaftarkan dengan JHEAINS bagi menjalankan aktiviti pembelajaran agama Islam di bawah peruntukan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996.

Jelas beliau, pihaknya juga mengesyaki pengurusan sekolah mempunyai kaitan dengan syarikat yang sedang disiasat sekarang berdasarkan penemuan songkok dan pakaian yang sering menjadi imej mereka.

“Madrasah ini pernah memohon untuk berdaftar dengan JHEAINS pada 16 Jun 2023 namun tidak diluluskan kerana gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Pada April lalu, satu notis peringatan juga telah diberikan kepada pihak madrasah agar segera mematuhi syarat-syarat pendaftaran yang telah ditetapkan sebelum tarikh akhir iaitu  30 April,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zaki menyifatkan keadaan rumah satu tingkat yang dijadikan madrasah terbabit sebagai tidak kondusif untuk kanak-kanak dari segi keselamatan dan kebersihan.

Ahmad Zaki memberitahu, ini kerana di situlah tempat mereka belajar, tidur makan dan melakukan aktiviti lain dalam jumlah penghuni yang ramai.

“Rumah kampung berkenaan mempunyai tiga bilik yang menempatkan bilik belajar, ruang solat, tempat makan dan bilik tidur dipercayai untuk kegunaan 40 pelajar.

“Sepanjang pemeriksaan memang tidak menjumpai sebarang katil dan hanya tilam nipis sahaja digunakan pelajar untuk tidur,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zaki berkata, pihaknya telah mengambil tindakan menyita premis berkenaan  selain merampas beberapa peralatan pembelajaran yang digunakan bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, kemua kanak-kanak itu telah diserahkan kepada JKM untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS, Mohd. Asri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penutupan madrasah berkenaan bagi tujuan siasatan lanjut mengikut peruntukan di bawah seksyen 25c Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996.

Mohd. Asri berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS di bawah Seksyen 22 Enakmen yang sama.

Beliau turut menasihati kepada semua pihak pengurusan sekolah agama Islam di Negeri Sembilan agar berdaftar dengan JHEAINS dan mematuhi segala syarat dan peraturan yang telah ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN