PUCHONG: Penghuni rumah kebajikan di Kampung Sri Aman, di sini yang diserbu Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati tidak bersekolah dan melakukan aktiviti sendiri di premis tersebut.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia tidak pernah melihat penghuni di rumah kebajikan yang terdiri daripada kanak-kanak pergi ke sekolah.
“Mereka lebih gemar membuat aktiviti sendiri dalam kawasan rumah amal itu.
“Penghuni (kanak-kanak) itu juga didapati tidak berbual dengan orang ramai kerana masing-masing bergaul sesama sendiri,” katanya ketika ditemui berhampiran rumah kebajikan terbabit hari ini.
Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, dia pernah berhadapan situasi sama ketika menjadi pentadbir sebuah sekolah di Rawang sebelum ini.
Beliau mendakwa, kanak-kanak di rumah amal tersebut telah diberhentikan sekolah bagi menjalankan aktiviti perniagaan.
“Ketika saya jadi pentadbir sekolah sebelum ini, ada beberapa remaja perempuan berusia 16 tahun bersekolah di tempat saya namun mereka hanya datang sekolah dua atau tiga hari sahaja.
“Pihak kami (sekolah) kemudian menghubungi organisasi tersebut tetapi akhirnya mereka diberhentikan sekolah dengan alasan untuk berniaga,” jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Shamsuri Omar, 65, berkata, dia terkejut apabila nampak sebuah lori ‘Black Maria’ polis berada di hadapan kedai miliknya berhampiran premis itu, awal pagi tadi.
“Semasa pulang dari solat Subuh, kenderaan polis itu sudah berada di depan kedai dan saya melihat kanak-kanak di rumah amal dibawa oleh pihak polis.
“Kebanyakan penghuni rumah amal tersebut adalah kanak-kanak dan remaja wanita yang berusia 13 tahun dan ke atas.
“Mereka itu tidak banyak bergaul dengan penduduk setempat dan membuat aktiviti sendiri di premis yang diduduki itu,” katanya. – UTUSAN