Kalau nak kejar anugerah luar negara, persiapkan diri dulu - Beto Kusyairi - Utusan Malaysia

Kalau nak kejar anugerah luar negara, persiapkan diri dulu – Beto Kusyairi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon Beto Kusyairi mengakui tidak pernah memasang angan-angan untuk menggengam sebarang anugerah perfileman antarabangsa seperti Oscar meskipun sudah lama bertapak dalam industri seni tanah air.

Menurut Beto, setiap pelakon perlu berpijak pada bumi yang nyata dan harus mempersiapkan diri dengan baik sebelum mengejar pengiktirafan antarabangsa itu.

“Kita kena sedar ruang kita. Kita kena sedar diri kita siapa. Di mana tanah kita pijak, di mana langit kita junjung.

“Kalau nak kejar anugerah luar negara, persiapkan diri dulu. Pergi luar negara dapat anugerah pasti orang Malaysia turut berbangga,” katanya.

Tambah Beto, dia juga sering menerapkan dalam dirinya untuk berkarya dengan sepenuh hati selain memberikan impak kepada penonton.

“Saya tidak pernah memburu anugerah antarabangsa mahupun tempatan kerana dari dulu saya terapkan pada diri sendiri supaya kerja sepenuh hati dan jangan mengharapkan trofi.

“Pengiktirafan pada saya adalah apabila hasil lakonan saya meninggalkan impak dan penonton terkesan, selebihnya adalah bonus,” jelasnya.

Meskipun sudah menjulang pelbagai anugerah sepanjang bergelar anak seni, Beto bagaimanapun tetap menghargai setiap pengiktirafan tersebut yang disifatkan lebih bermakna buatnya.

“Saya tidak pernah pandang rendah anugerah tempatan sebab ‘hadiah’ itu datang dari negara sendiri dan peminat sendiri menonton dan menghargai hasil karya kita.

“Bila orang nak beri takkan saya nak tolak, jadi saya hargai, berterima kasih dan bersyukur. Tidaklah sampai terfikir anugerah tempatan tak setanding dengan bakat saya. Saya pun kena sedar diri di mana langit dijunjung,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN