PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Aishah, 59, mendedahkan dirinya pernah disihir berkali-kali dan diganggu perkara mistik.
Menerusi sesi podcast Buka Mulut, perkara itu secara tidak langsung membuka matanya untuk lebih dekat dengan Sang Pencipta.
“Bukan cuma sekali kena, tetapi berkali-kali. Cuma, bagi saya benda ni terjadi kerana saya rasa Allah nak saya lebih dekat dengan Dia.
“Satu lagi untuk memberikan saya keyakinan bahawa tidak ada kuasa yang lebih besar daripada kuasa Allah,” katanya.
Syukur usianya masih panjang, penyanyi lagu Janji Manismu itu bagaimanapun mengakui dirinya boleh membukukan kisah-kisah mistik yang dilaluinya.
“Sebenarnya, saya boleh bukukan sahaja pengalaman saya disihir ini dan apa yang saya lalui.
“Kalau ikut hukum akal, saya sudah lama jadi arwah. Saya pernah kena (sihir) berkali-berkali. Saya pernah batuk tiga hari tanpa henti dek santau,” ujarnya.
Terdahulu, Aishah turut mengakui dirinya serik untuk menyertai mana-mana program realiti gara-gara sering menjadi mangsa perbuatan sihir.
Dedahnya, sejak berusia 16 tahun, dia sering berdepan kejadian dan penyakit mistik seperti disantau, busung dan turun darah berbulan-bulan.-UTUSAN