Kadar tol lebih murah

Kadar tol lebih murah masa depan

ANWAR Ibrahim merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban (Arah Selatan), semalam. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Rakyat bakal menikmati kadar tol lebuh raya yang lebih murah bagi lebuh raya yang akan dibangunkan selepas ini jika kos pembinaannya dapat dikawal selain tidak berlaku sebarang ketirisan dan rasuah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, wujudnya ‘bayaran-bayaran’ bagi tujuan mempercepatkan kelulusan dalam setiap projek pembangunan sebelum ini juga menyebabkan kos projek terbabit meningkat.

“Selalu dibangkitkan tentang tol di negara ini dan saya harap supaya kos pembangunan lebuh raya itu dapat diteliti supaya jangan ada kebocoran. Kalau kos dikawal, tidak ada ketirisan dan rasuah ada kemungkinan kita turunkan kadar tol, itu biasa.

“Saya pernah ucap dulu, semasa pengalaman saya dengan UEM di peringkat awal, bagaimana kos itu terpaksa ditingkatkan pada hal boleh dikurangkan kerana terlalu banyak bayaran yang diberikan untuk pantaskan kelulusan.

“Ini mesti dihentikan, saya percaya untuk projek-projek seterusnya pastikan kelulusan disegerakan,” katanya.

Anwar berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban (Arah Selatan), Lebuh Raya Utara Selatan di sini, semalam.

Perdana Menteri menjelaskan, perkara itu boleh berlaku kalau semua pihak bertanggungjawab dan merasakan (projek lebuh raya) itu adalah projek demi kemudahan rakyat.

“Sebagai contoh, baru-baru ini kita melancarkan Rumah Madani di Taman Desa kerana saya tekankan di Kuala Lumpur keperluan perumahan itu mendesak, orang tunggu berpuluh tahun dan yang tunggu itu sebenarnya berpendapatan rendah.

“Mahu tunggu nak dapat kelulusan dua tahun, kena bayar kepada pegawai itu. Kepada orang ini, kos meningkat, tunggu lama, jadi apabila kita desak, kita tekan, pastikan peraturan diikuti jangan ada ketirisan dan jangan ada orang ambil kesempatan dan keuntungan haram, ia boleh dilakukan, kalau kita ada pendirian yang jelas,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, Kawasan RnR Seremban (Arah Selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan itu adalah RnR lestari pertama di lebuh raya di negara ini.

Kata beliau, pembangunan RnR itu merupakan permulaan penting dalam arah tuju negara iaitu dengan menyantuni rakyat dengan memberi keutamaan kepada kemudahan yang memberikan manfaat.

“Saya sudah lalu di lebuh raya berpuluh tahun belum pernah ada (RnR) seindah ini dengan konsep lestari sebegini rupa. Rakyat Seremban dan Negeri Sembilan memang bertuah, ia satu permulaan yang baik bagi peniaga, bagi rakyat.

“Saya percaya ini menandakan satu permulaan penting dalam arah tuju negara kita, membangun tetapi memikirkan masalah rakyat dibawah. Terus mencapai dan mencatat kemajuan tinggi tapi tidak akan mengabaikan nasib rakyat kerana kita, bertanggungjawab mengangkat martabat mereka dan memberikan keselesaan,” katanya.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Pengerusi LLM, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Moha­mad Nasir Ab. Latif.

Perdana Menteri menambah, konsep lestari yang ditampilkan di R&R berkenaan iaitu seperti penggunaan tenaga solar dan sistem penuaian air hujan boleh diperluaskan di kawasan R&R yang lain.

“Menariknya adalah kelesta­rian solar di atas, air hujan untuk kegunaan bilik air dan tandas. Jadi saya tekankan di sini bahawa RnR Seremban Arah Selatan harus jadi permulaan penting bagi semua lebuh raya di negara kita, ini adalah contohnya,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Alexander berkata, konsep RnR lestari ber­kenaan sangat dialu-alukan dan berharap ia dapat diperluaskan di tempat lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya