Kadar hujan tinggi punca Jalan Kebun, Kota Kemuning banjir kilat - Utusan Malaysia

Kadar hujan tinggi punca Jalan Kebun, Kota Kemuning banjir kilat

Kadar hujan
AMIRUDIN Shari dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menyaksikan peserta mengendalikan kereta mainan buatan mereka pada Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah di Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Banjir kilat yang melanda di sekitar Jalan Kebun dan Kota Kemuning di bandaraya ini dan Shah Alam pada semalam (Rabu) disebabkan kadar hujan turun tinggi iaitu sekitar 119 milimeter (mm) dalam tempoh dua hingga empat jam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kadar hujan di dua kawasan tersebut turun melebihi kadar purata biasa sekitar 1 hingga 60 mm bagi tempoh sama.

“Namun banjir kilat di dua kawasan itu hanya berlaku selama sejam sahaja dan tidak menyebabkan penduduk di sekitar kawasan itu berpindah berikutan kesan bencana masih lagi terkawal.

“Kalau kadar hujan bawah 100 mm, kita masih lagi selamat namun semalam kadarnya agak tinggi yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di dua kawasan terbabit,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan hujan lebat berterusan selama beberapa jam mengakibatkan kawasan di sekitar Jalan Sungai Merbau, Kota Kemuning di sini, dilanda banjir kilat hari ini.

Kejadian bermula kira-kira pukul 2.30 petang itu menjejaskan penduduk sekitar kawasan berkenaan apabila kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.6 meter.

Bagaimanapun, Amirudin mengambil maklum perkara tersebut dan meminta semua agensi berkaitan untuk mempertingkatkan kawalan terhadap kawasan yang berisiko tinggi berlakunya banjir ketika musim peralihan monsun yang sedang berlaku ketika ini.

“Kejadian semalam (Rabu) mungkin satu peringatan (mungkin berlakunya banjir kilat lagi selepas ini). Namun, Alhamdulillah semua unit (di bawah kerajaan negeri) telah bertindak cepat (melakukan kerja-kerja menyelamat dan pemantauan).

“Cuma kita hendak pastikan langkah-langkah atau kawalan sebelum berlaku banjir seperti peningkatan usaha untuk membaiki atau menaik taraf saliran di kawasan tertentu (berisiko).

“Hal ini kita akan tumpu untuk buat sebelum kemuncak musim peralihan monsun yang dijangka berlaku pada bulan hadapan (Oktober), November dan Disember ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya