Kabinet tak putuskan semua restoran ambil sijil halal - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Kabinet tak putuskan semua restoran ambil sijil halal – Ahmad Zahid

Sijil halal
AHMAD Zahid Hamidi hadir Perhimpunan Agung MIC Ke-78, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Semua pihak digesa tidak memaksa pengusaha restoran bukan Islam atau yang terlibat dalam perusahaan berkaitan makanan dan minuman (F&B) untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet tidak pernah memutuskan pengusaha-pengusaha berkaitan terutama yang bukan Islam wajib mendapatkan sijil halal.

Menurutnya, hal tersebut tidak sepatutnya mencetuskan polemik berikutan semua agama memahami keperluan masing-masing susulan isu tersebut bukan perkara baharu dan sering dimainkan serta dijadikan modal politik.

“Soal halal, haram itu adalah sesuatu yang begitu lama. Sijil halal juga diminta oleh pengusaha bukan Islam dan tidak ada satu keputusan untuk mewajibkan semua restoran di seluruh negara untuk memohon 100 peratus sijil halal, tidak ada keputusan Kabinet.

“Itu sebabnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Datuk Mohd. Na’im Mokhtar memberitahu kedudukan (situasi) sebenarnya kepada Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini,” katanya dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke-78, hari ini.

Terdahulu, isu sijil halal kembali polemik selepas terdapat lima restoran terkemuka yang beroperasi di negara ini tidak memiliki SPHM.

Namun, isu tersebut berlarutan selepas Mohd. Na’im mengulas keperluan perbincangan dengan semua pihak termasuk penggubalan undang-undang sekiranya perlu mewajibkan restoran-restoran memiliki sijil halal.

Bagaimanapun, semalam beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak bergaduh mengenai cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tertentu mendapatkan pensijilan halal kerana cadangan itu masih di peringkat lontaran idea, tanpa jaminan ia akan dilaksanakan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia memberitahu sudah berbincang dengan pimpinan parti komponen Pakatan Harapan (PH) ketika berada di Mahkota, Kluang dan menasihatkan supaya tidak terperangkap dengan musuh politik

“Kami daripada BN mengadakan pertemuan, saya beritahu kepada pihak-pihak berkenaan yang bertelagah dengan isu itu yang belum ada hujung dan pangkal, jangan bangkitkan isu sensitif dan berpolemik, hormati agama antara satu sama lain, hormati hak.

“Adakah hilang nilai Islam saya kalau saya (kita) adil kepada agama lain? Begitu juga agama lain, adakah hilang nilai agamanya kalau hormati agama orang lain? Malaysia adalah majmuk dan harus jadi tonggak kepada pembentukan negara,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya