SEPANG: Kabinet hari ini bersetuju untuk meneruskan dua inisiatif subsidi pembelian tiket penerbangan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, dua inisiatif itu melibatkan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan (FLYsiswa) dan mengekalkan dasar harga siling tiket penerbangan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.
“Kabinet telah pun memutuskan untuk inisiatif program FLYsiswa iaitu bantuan penerbangan sebanyak RM300 kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung dan juga pelajar dari Semenanjung yang belajar di Sabah dan Sarawak, IPTA (institut pengajian tinggi awam), IPG (Institut Pendidikan Guru) dan sebagainya, mereka tetap diberikan bantuan dan itu akan dijadikan sebagai inisiatif tahunan.
“Jadi, setiap tahun kita akan bantu (pelajar) ini di peringkat Kerajaan Persekutuan (manakala) kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga ada membantu pelajar-pelajar mereka dengan (bantuan) sebanyak RM600. Jadi, ini dapat mengurangkan beban khususnya untuk pelajar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Capsule Transit MAX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini, hari ini.
Inisiatif FLYsiswa mula dilaksanakan pada 15 Ogos tahun lalu melalui kaedah pemberian baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi pembelian tiket penerbangan laluan-laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Selain pelajar universiti awam, pelaksanaan inisiatif ini turut diperluaskan kepada pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi serta pelajar Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pendidikan mulai 6 Oktober 2023.
Pelaksanaan FLYsiswa mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat penerbangan utama negara seperti Malaysia Airlines Berhad, AirAsia dan Batik Air.
Anthony Loke berkata, selain itu, Jemaah Menteri turut bersetuju untuk terus mengekalkan dasar harga siling tiket penerbangan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak semasa musim perayaan.
Jelas beliau, kadar berkenaan akan ditetapkan tiga hari sebelum bagi setiap musim perayaan iaitu pada harga RM599.
“(Kadar) itu akan dikekalkan dan diteruskan untuk musim perayaan yang akan datang termasuk Krismas, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai, Hari Raya dan sebagainya.
“Apa yang selebihnya, kita akan bagi subsidi daripada kerajaan kepada syarikat penerbangan, jadi itu antara langkah yang kita ambil untuk memastikan terutamanya rakyat Sabah dan Sarawak dapat dibantu dan mengurangkan beban mereka,” katanya. – UTUSAN