JTK Perak selamatkan empat pekerja Bangladesh bawah umur - Utusan Malaysia

JTK Perak selamatkan empat pekerja Bangladesh bawah umur

PEKERJA asing yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan perburuhan oleh JTK Perak dan PDRM di sebuah kilang dekat Tanjung Rambutan, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Empat warganegara Bangladesh disyaki di bawah umur berjaya diselamatkan apabila didakwa bekerja tanpa sah di sebuah kilang papan berhampiran Tanjung Rambutan hari ini.

Semua mereka berusia antara 14 hingga 16 tahun itu diselamatkan dalam satu serbuan operasi penguatkuasaan perburuhan yang dijalankan bersama oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd. Ghani berkata, operasi itu turut membabitkan  penahanan  seramai 34 warga Bangladesh serta dua Nepal atas kesalahan tiada permit dan dokumen yang sah.

Jelasnya, operasi itu membawa kepada tindakan atas kesalahan di bawah beberapa akta seperti Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670), Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Kerja 1955.

Antara kesalahan itu ialah seperti tiada perakuan penginapan, gagal menyediakan kemudahan asas, disyaki menggaji warga asing tanpa dokumen sah, disyaki menggaji kanak-kanak berusia 14-16 tahun, gagal melaporkan pengajian pekerja asing serta gagal memberi notis penukaran nama syarikat.

Muhamad Fauzi berkata, operasi yang dijalankan itu adalah berdasarkan risikan dalam tempoh sebulan dan dipantau secara berterusan oleh pihak JTK.

“Syarikat ini termasuk di dalam kita punya radar. Banyak lagi syarikat-syarikat yang berada dalam radar kita,” katanya yang turut menyertai operasi itu yang diadakan di sini hari ini.

Tambahnya, operasi itu merupakan satu daripada kaedah untuk memastikan kebajikan pekerja terjaga dan mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak mematuhi undang-undang perburuhan.

Operasi itu turut disertai oleh petugas media yang dibawa untuk melihat kemudahan asas yang disediakan kepada pekerja termasuklah asrama, tempat memasak dan tandas.

Seramai 224 pekerja asing disemak termasuk empat disyaki kanak-kanak di kilang itu yang dikatakan telah beroperasi sejak 2019. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN