JPJ tambah baik kualiti perkhidmatan mulai Isnin ini

JPJ tambah baik kualiti perkhidmatan mulai Isnin ini

AEDY Fadly (tengah) beramah mesra bersama pelanggan yang menunggu giliran di JPJ Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Penambahbaikan kualiti perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang akan bermula Isnin ini diyakini dapat mengurangkan kesesakan pelanggan dan masa menunggu di kaunter.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, penambahbaikan itu akan dibuat secara berperingkat selepas perbincangan bersama pengarah-pengarah negeri selesai sepenuhnya.

“Kita masih perlu berbincang untuk meneliti kaedah yang akan dilaksanakan kerana setiap negeri memiliki prosedur yang berbeza.

“Jadi, pengarah-pengarah inilah yang akan memutuskan cara untuk melaksanakannya di negeri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kaunter JPJ di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, antara penambahbaikan yang dijadualkan ialah menyediakan pegawai pemudah cara (JPJ Assist) bagi membantu pelanggan dalam urus niaga yang boleh dibuat secara dalam talian (online).

Beliau berkata, pihaknya turut akan menggalakkan pelanggan membuat urus niaga pembaharuan Lesen Memandu (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ dan portal MySIKAP.

“Sistem JPJeQ turut ditambah baik bagi membolehkan pelanggan mendapatkan nombor giliran melalui imbasan kod QR dan akan menerima notifikasi status nombor giliran menerusi telefon pintar.

“Pindaan prosedur operasi standard (SOP) bagi urus niaga berkaitan pelesenan kenderaan dan pelesenan pemandu yang melibatkan dokumen atau borang fizikal untuk digantikan dengan e-dokumen atau e-borang yang boleh dilengkapkan awal sebelum berurusan di kaunter,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar telah mengadakan lawatan mengejut ke ibu pejabat JPJ di Putrajaya, Isnin lalu.

Dalam hantaran menerusi halaman Facebook, beliau berpandangan, agensi itu perlu menambah baik taraf perkhidmatan dan memastikan isu yang melibatkan kepuasan pelanggan dapat diatasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN