GEORGE TOWN : Sebanyak 53 notis kesalahan bernilai RM13,250 telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dikenali sebagai Ops Penang Bebas Asap Rokok (Penbar) di sini, kelmarin.
Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tersebut melibatkan seramai 34 anggota dan diadakan bertujuan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Pada masa yang sama katanya, ia juga merupakan salah satu daripada bentuk sokongan untuk penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) yang bakal dikuatkuasakan pada 1 Oktober ini.
“Operasi ini secara umumnya menyasarkan kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO di George Town yang telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejak Julai 2015 di bawah Peraturan 22(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, JKNPP menggesa orang ramai untuk menghormati peraturan larangan merokok dan menjadi lebih peka terhadap kesihatan diri serta orang lain selain melindungi kesihatan awam dari bahaya asap rokok.
“Sebarang laporan mengenai pelanggaran peraturan ini boleh dibuat melalui Infoline Aduan Merokok di talian 010-8608949 sama ada melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram,” ujarnya.-UTUSAN