Jiran maut ditetak semasa bantu suami isteri bertengkar

Jiran maut ditetak semasa bantu suami isteri bertengkar

MANGSA tetak meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan yang teruk dalam kejadian di Jalan, Lingkudau, Taman Juta, Keningau semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENINGAU: Hasrat murni seorang lelaki membantu jirannya, pasangan suami isteri yang bertengkar mulut menyebabkan lelaki berkenaan ditetak sehingga maut dalam kejadian di Jalan, Lingkudau, Taman Juta, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, mangsa berusia 58 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan yang teruk pada bahagian tangan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superitendan Alizam Dalaman berkata, kejadian itu dikatakan berpunca daripada perasaan cemburu suspek kerana jirannya bertindak membantu isterinya semasa kedua pasangan tersebut bertengkar.

Berdasarkan siasatan awal, suspek iaitu lelaki warga Filipina berusia 40 tahun telah bertengkar mulut dengan isterinya hingga menyebabkan isterinya melarikan diri ke rumah mangsa.

“Difahamkan mangsa telah membantu isteri suspek untuk membuat laporan polis di Balai Polis Keningau. Semasa berada di balai, anak mangsa menghubunginya dan memaklumkan suspek mengamuk di depan rumah mereka.

“Kemudian mangsa bersama anaknya yang berusia tujuh tahun pulang semula ke rumah manakala, isteri suspek turut pulang ke rumah dengan menaiki kenderaan polis peronda. Isteri suspek kemudian meredakan kemarahan suaminya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati ketika mangsa dalam perjalanan pulang, dia bertemu dengan suspek dan berlaku pergaduhan sehingga suspek bertindak menetak tangan mangsa.

Kejadian itu disaksikan oleh anak mangsa berusia tujuh tahun. Tetakan tersebut mengakibatkan mangsa mengalami pendarahan yang banyak.

Anggota polis kemudian memaklumkan pihak hospital dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Suspek telah melarikan diri selepas kejadian tersebut dan operasi mengesan suspek masih dijalankan dengan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN