USAHLAH berharap Amir Ahnaf membuka mulut mengenai segala kontroversi yang sedang melanda dirinya pada waktu ini kerana hakikatnya, aktor muda ini lebih selesa memilih untuk mengunci mulut daripada mudahnya meluahkan kata-kata.
Mungkin jauh di lubuk hati Amir, dia merasakan banyaknya berkata-kata itu hanya akan membawa kemudaratan berbanding menjernihkan situasi. Apalagi kontroversi yang melanda seakan sengaja diangkat demi menjatuhkan dirinya.
Mahu kekal fokus di landasan kerjaya yang telah dibina sejak empat tahun lalu, Amir enggan membiarkan peluru-peluru sesat yang membawa kisah buruk tentangnya menjadi penghalang diri untuk terus maju.
Sungguhpun begitu, anak kelahiran Dungun, Terengganu, ini sedar, sejauh mana dia cuba menepis kontroversi, sukar untuk dirinya benar-benar memastikan namanya tidak terjerumus ke sisi hitam dan nistanya dunia glamor.
“Terus-terang, sebagai seorang individu, sudah tentu saya sendiri ada kerisauan seandainya diri terjerumus ke kancah tidak baik. Saya ini datangnya dari sebuah keluarga yang sangat akrab. Ibu pula selalu hubungi saya dan sentiasa berpesan supaya saya menjaga diri.
“Maklum sahajalah, duduk jauh daripada keluarga. Tetapi itu sebab kita lagi kena sentiasa ingat keluarga. Saya pun risau nak cakap pasal hanyut tidak hanyut ini kerana kita pun tak tahu apa nak jadi pada masa akan datang.
“Takut jika diuji Tuhan sebab kita pun bukannya iman kuat sangat. Ada masa, naik turun juga. Cuma, satu sahaja. Sekiranya ramai sayangkan saya, doakan saya. Kalau ada saya buat salah silap, doakan saya kembali semula ke landasan yang betul,”katanya.
Tahu namanya kini sedang meniti kemuncak populariti, Amir bagaimanapun bersyukur kerana langkahnya sebagai seorang aktor menjadi dan menyaksikan progres yang baik.
Bermula sebagai cuma seorang budak yang mentah dalam industri seni, Amir yakin sekiranya dia mengekalkan momentum yang bagus, lebih banyak pihak dapat membuka mata terhadap bakat seni yang dimilikinya.
“Saya bermula pada usia 21 tahun. Daripada seorang budak mentah, saya cuba nasib dan berusaha menggali ilmu seni lakon. Harus saya akui, segala-galanya berubah apabila saya terlibat dalam Project High Council (PHC).
“Alhamdulillah, segala proses itu sangat mematangkan. Bagi saya, berlakon ini adalah satu daripada proses memanusiakan sebab ia membuatkan kita mampu menggali lagi apa potensi diri.
“Di mana, dalam kehidupan realiti, mungkin kita tak dapat pun benda itu. Saya percaya lakonan dapat mematangkan perasaan kita. Jadi ya, lakonanlah yang telah mematangkan diri ini saban hari,”katanya.
Tak salah jadi jaguh kampung
Mengakui penangan PHC termasuk watak Kahar yang dibawanya dalam naskhah terbitan Astro Shaw umpama membawa tuah buatnya, Amir terharu apabila mengetahui peminat-peminatnya tidak cuma ada di dalam negara sahaja.
Katanya, sementeah mengetahui adanya peminat daripada negara seberang seperti Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina, Amir sedar, usahanya untuk memartabatkan kualiti lakonan anak seni tempatan hingga dikenali ke peringkat luar sedikit demi sedikit membuahkan hasil.
“Seperti pelakon lain, saya juga berharap nama mampu boleh pergi jauh. Jadi bila tahu ada peminat daripada negara luar, terbit rasa terharu kerana tak sangka, itu semua adalah penangan naskhah PHC dan watak Kahar.
“Saya dan rakan-rakan pelakon lain yang terlibat dalam naskhah itu memang lama berdoa agar ia dapat dikenali hingga ke negara luar, kami memang nak ia tembusi pasaran antarabangsa. Kami pun tak mahu cuma mampu jadi jaguh kampung sahaja,”katanya.
Mengajaknya berbicara perihal jaguh kampung, Amir berpandangan, tiada salahnya dengan gelaran sebegitu buat seseorang anak seni.
Ini kerana, baginya, terma jaguh kampung juga membawa konotasi yang baik jika ia dilihat dari sudut yang baik.
“Sebenarnya, jaguh kampung juga adalah satu terma yang bagus. Sebab kita tentulah mahu menyerlah di dalam negara dahulu. Cuma, usah biarkan diri terlalu selesa, bawalah kedudukan itu sehingga ke luar negara.
“Kita kena ada sasaran lebih besar sebab saya tahu, kadang-kadang bila sudah naik dan jadi jaguh kampung, seseorang itu boleh jadi terlalu selesa sehingga dia tidak dahagakan pilihan-pilihan lain.
“Itu lebih parah apabila dia lalai. Tetapi itulah, kadang-kadang saya pun bimbang juga jadi begitu. Harapnya, tidak,” katanya.
Kami semua ada ‘barang’
Mengusiknya dengan gelaran ‘budak-budak gerakan baharu’, Amir sedar banyak mata sedang memerhati bakat dan potensinya sebaris dengan pelakon-pelakon muda lain yang bersatu membawa gelombang baharu dalam industri seni hiburan tanah air.
Sempat tertawa kecil saat dilayangkan pertanyaan mengenai perkara tersebut, Amir berkata, dia bersama rakan-rakan seperjuangan lain mencuba membawa gerakan itu demi mengubah landskap seni tempatan yang dilihat masih berada di takuk lama.
Baginya, sekiranya apa yang dilakukan itu sekali pun membuka ruang buat para pemikir negatif tampil mentertawakan mereka, itu tidak menjadi masalah. Apa yang penting, misi dan visi mereka tetap diteruskan.
“Sekarang ini rata-rata pelakon baharu bangkit bukan sahaja untuk tunjukkan visual atau bakat sahaja, tetapi mengejar kualiti lakonan. Semua orang boleh berlakon, sesiapa sahaja. Tetapi lakonan ‘method’ ramai perasaan konon macam baharu, tetapi sebenarnya sudah lama ada.
“Namron, Beto Kushairy, Zahiril Adzim dan Bront Palarae, mereka semua dah lama buat benda ini. Disebabkan generasi baharu bawa, orang macam terkejut pula. Bagi saya, generasi pelakon baharu lain kena buka mata sahaja, kalau ikut cara lama, mereka akan tenggelam.
“Kena selalu kemaskini dengan gelombang dan variasi baharu dalam arena seni lakon. Bila dapat fahami perkara ini baharulah dapat bawa Malaysia ke atas,”ujarnya.
Selain itu, Amir berkata, secara peribadi, dia juga yakin kalangan pelakon muda yang terlibat dalam drama PHC mampu meningkat naik sebagai pelapis pelakon bermutu yang boleh dibanggakan pada masa akan datang.
“Semua mereka boleh naik sebab masing-masing ada ‘barang’. Apa yang saya maksudkan merujuk kepada perasaan sebab berlakon ini kena mainan dalaman, main jiwa.
“Kalau jiwa dia kuat, dia boleh lontarkan emosi itu secara lancar dan semula jadi. Itulah ‘barang’ yang tidak semua orang ada,”katanya.