Jenazah Salmah, anak lelaki selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah Salmah, anak lelaki selamat dikebumikan

JENAZAH Salmah Mat Zain dan anaknya, Muhammad Rosman Rohadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aishah di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG: Jenazah dua beranak yang ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras banjir di Kampung Tanjung Kanan, di sini semalam selamat dikebumikan kira-kira pukul 4 petang tadi.

Jenazah Salmah Mat Zain, 46, dan Muhammad Rosman Rohadi, 19, dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah di Kampung Tanjung Kanan.

Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara, rakan dan penduduk kampung hadir bagi mengiringi perjalanan terakhir kedua-dua mangsa.

Terdahulu, jenazah menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar sebelum dibawa ke Masjid Aisyah untuk disembahyangkan.

Bapa saudara Salmah, Md. Tajuddin Awang Muhammad, 47, melahirkan rasa syukur apabila
jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan petang ini.

“Alhamdulillah semuanya selesai. Ramai yang hadir pada solat jenazah dan semasa proses pengebumian tadi,” katanya.

Akhbar ini melaporkan dua beranak itu hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Tanjung Kanan kira-kira pukul 8.15 pagi semalam.

Mereka dikatakan keluar untuk membeli nasi lemak dan pulang ke rumah dengan meredah laluan ditenggelami banjir akibat limpahan sungai berikutan hujan lebat, malam semalam.

Mayat Muhammad Rosman ditemui di ladang kelapa sawit yang ditenggelami banjir dalam keadaan tersangkut pada sisa pelepah kelapa sawit kira-kira pukul 5.25 petang semalam.

Ibunya, Salmah pula dijumpai pada jarak kira-kira 50 meter di bawah timbunan pelepah kelapa sawit serta tunggul kayu kira-kira pukul 7.45 pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN