Jenayah rasuah tetap jadi keutamaan kerajaan - Saifuddin

Jenayah rasuah tetap jadi keutamaan kerajaan – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu integriti dan jenayah rasuah tetap menjadi keutamaan kerajaan walaupun ia tidak diangkat sebagai keutamaan pada Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau mengesahkan isu integriti turut dibincangkan pada persidangan berkenaan melibatkan 800 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang dan cabang keselamatan negara.

“Kita berikan kebebasan kepada peserta untuk berbincang mengikut sudut pandang mereka masing-masing.

“Jadi, apakah ia (jenayah rasuah) dibincang dalam persidangan ini. Jawapannya ya dan ia dalam perkara tentang integriti,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 di sini, hari ini.

Saifuddin turut menjelaskan bahawa apabila diangkat sebagai satu resolusi, ia mesti berpandukan kepada empat kluster yang dibincangkan dalam persidangan itu.

Katanya, bagi setiap kluster, ada isu yang diangkat mengikut urutan keutamaan jenayah pada sudut pandang peserta dan ia tidak bermaksud bahawa isu integriti (jenayah rasuah) direndahkan.

Pada persidangan keselamatan julung kali itu, 800 peserta mengangkat jenayah dadah dan substan sebagai resolusi dan isu utama yang perlu ditangani segera oleh kerajaan.

Mengulas mengenai resolusi yang diangkat itu, Saifuddin berkata, jenayah berkaitan dadah adalah paling banyak dibincangkan pada persidangan itu kerana berdasarkan rekod jenayah dan kekerasan polis, kebanyakan pelaku sebahagian besarnya bermula dengan masalah dadah.

“Ia kemudian berakhir dengan rompakan bersenjata, jenayah harta benda dan pembunuhan. Jadi, ia sangat dekat terkait. Jika ia (jenayah dadah) dapat dikawal lebih awal maka, perlakuan jenayah lain dapat dibendung.

“Mengikut data, 68 peratus daripada penghuni penjara adalah terkait dengan kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan akta-akta lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN