Jenayah dadah dan substan perlu ditangani segera

Jenayah dadah dan substan perlu ditangani segera

SAIFUDDIN Nasution Ismail menerima Resolusi Persidangan Keselamatan Dalam Negara di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 mengangkat jenayah dadah dan substan sebagai resolusi dan isu utama yang perlu ditangani segera.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi berkata, persidangan membabitkan 800 peserta dan 30 pembentang itu melihat jenayah dadah dan substan itu mendatangkan implikasi serius terhadap kestabilan politik, ekonomi, dan sosial negara.

Beliau berkata, komitmen dan tindakan susulan daripada semua pihak berkepentingan penting bagi memastikan kejayaan pelaksanaan resolusi ini.

“Jenayah dadah dan substan dikenal pasti sebagai ancaman utama yang memerlukan perhatian segera dan berterusan,” katanya ketika membentangkan resolusi itu pada majlis penutup persidangan di sini, hari ini.

Katanya, persidangan sama turut bersetuju bahawa ancaman keselamatan sempadan menjadi fokus utama bagi memelihara kedaulatan negara dan aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan perlu dikawal secara menyeluruh.

Ruji berkata, ancaman keselamatan siber juga perlu diberikan fokus dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara berdasarkan trend semasa yang semakin meningkat setiap tahun.

Menurutnya, ancaman lain yang akan diberi tumpuan termasuk isu keganasan dan radikal serta ancaman keselamatan sosial membabitkan penggunaan media sosial.

Dalam pada itu, katanya, persidangan ini juga bersetuju dengan 10 strategi bagi menangani ancaman-ancaman berkenaan.

Katanya, antara strategi itu termasuk, meningkatkan penggunaan teknologi canggih seperti dron, satelit dan sistem pengesanan automatik di sempadan negara serta memperkasakan kerjasama agensi keselamatan di peringkat nasional dan antarabangsa bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah di sempadan.

Ruji berkata, strategi lain ialah menyediakan sumber dan dana yang bersesuaian bagi meningkatkan keupayaan tenaga manusia dan infrastruktur yang berdaya tahan, moden dan berteknologi tinggi.

“Selain itu, melaksanakan operasi penguatkuasaan yang lebih agresif di peringkat domestik dan antarabangsa secara bersepadu untuk memerangi jenayah penyeludupan, khususnya yang melibatkan dadah dan substan.

“Strategi lain termasuk memperkasakan program rawatan dan pemulihan secara holistik; mengukuhkan integriti di kalangan anggota penguatkuasa dalam menangani ancaman dadah dan substan serta meningkatkan penggunaan teknologi canggih dalam mengenalpasti ancaman penyeludupan.

“Selain itu, memperkasakan undang-undang sedia ada; mengimplementasikan program kesedaran awam dan menggalakkan pembangunan ekonomi di kawasan sempadan untuk mengurangkan aktiviti ekonomi haram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN