Jemaah Kabinet ucap Selamat Hari Malaysia 

Jemaah Kabinet ucap Selamat Hari Malaysia 

Jemaah Kabinet
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama barisan jemaah menteri, mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat melalui media sosial masing-masing hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menerusi hantaran di Facebook mengajak seluruh rakyat Malaysia terus menjaga hubungan baik antara kaum, memperkukuhkan perpaduan dan menanam semangat patriotik dalam jiwa generasi muda.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia harus bersama-sama menghadapi segala cabaran dan memastikan Malaysia kekal aman, makmur dan dihormati di persada dunia.

“Sejak 1963, kita membina negara yang berasaskan nilai toleransi, keharmonian dan kesepakatan. Kepelbagaian adalah kekuatan kita dan perpaduan yang terjalin di antara rakyat Malaysia adalah asas kepada kemajuan yang kita kecapi.

“Kemerdekaan sejati bukan hanya mengenai kebebasan daripada penjajah, tetapi kebebasan untuk hidup bersama dalam suasana harmoni, saling menghormati dan bersatu-padu,” katanya. 

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menggesa rakyat  terus mengukuhkan perpaduan, kebersamaan dan patriotisme demi membina negara yang teguh, bersatu, makmur dan sejahtera.

Katanya, kerajaan Persekutuan yang dibentuk atas nama Kerajaan Perpaduan adalah manifestasi pentingnya perpaduan dalam menoktahkan percakaran politik supaya Malaysia dapat bergerak maju, memacu ekonomi, lebih makmur dan sejahtera.

“Tema sambutan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menterjemah semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi, seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.

“Masyarakat berjiwa merdeka juga menekankan pentingnya adab, etika dan integriti dalam setiap aspek kehidupan, selamat menyambut Hari Malaysia 2024,” katanya.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pula  berharap rakyat terus bersama-sama membina negara yang stabil, aman, harmoni dan gah di persada dunia, demi generasi kini serta masa depan.

“Selamat Hari Malaysia,” katanya sambil mempelawa orang ramai menyaksikan sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Padang Merdeka di Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Ab. Kadir berkata, keharmonian, kesepakatan, kebersamaan dan kesepaduan menjadi kunci keberadaan Malaysia yang dibina melalui perancangan, pentadbiran dan pembangunan teliti.

“Didoakan semua ini kekal utuh dan diwariskan kepada anak cucu kita nanti. Masa depan mereka bermula dari masa kini. Semoga Malaysia terus maju, aman dan makmur berpanjangan,” katanya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching turut menzahirkan ucapan selamat Hari Malaysia.

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun bagi memperingati pembentukan Malaysia pada 1963 dan sambutan peringkat kebangsaan tahun ini diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya