Jelajah Madani Mendengar kumpul idea lengkapkan dokumen RMK13

Jelajah Madani Mendengar kumpul idea lengkapkan dokumen RMK13

RAFIZI Ramli (dua kiri) merasmikan Persidangan Permulaan RMK13 di Sepang Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Ekonomi akan melaksanakan Jelajah Madani Mendengar bertujuan mengumpul idea dan pandangan daripada rakyat di akar umbi bagi melengkapkan pelan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau sendiri akan turun ke jelajah itu bermula bulan ini di seluruh negara bagi mendapatkan seberapa ramai pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, adalah penting untuk mendapatkan pandangan rakyat sendiri kerana mereka sebenarnya berdepan dengan kekangan dan cabaran itu.

“Kita kena mendengar di pelbagai peringkat bagi melihat segala masalah besar dan struktur besar dihadapi oleh negara.

“Ia (Madani Mendengar) adalah satu proses untuk membolehkan kerajaan memberi pencerahan tentang gambaran sepenuhnya keadaan negara baik dari segi potensi, cabaran, kekangan dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Permulaan RMK13 di sini, hari ini.

Katanya, Jelajah Madani Mendengar adalah satu inisiatif untuk mengumpulkan input daripada kumpulan pemikir awam, wakil sektor swasta, dan rakyat biasa di seluruh negara.

Rafizi berkata, sesi jelajah ini akan diadakan di kesemua 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan untuk
memastikan setiap orang mempunyai peluang untuk menyuarakan kebimbangan, pandangan dan juga cadangan mereka untuk membantu membentuk masa depan negara.

Menurutnya, selain siri jelajah itu, orang awam juga boleh berkongsi pandangan dan idea sama melalui portal RMK13 yang baru sahaja dilancarkan di pautan https://rmk13.ekonomi.gov.my hari ini.

“Saya ingin menyeru semua rakyat untuk mengambil bahagian secara aktif dalam perjalanan ini. Kejayaan RMK13 bergantung kepada pendekatan keseluruhan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN