Jawatankuasa Khas siasat, kaji doktrin fahaman GISB

Jawatankuasa Khas siasat, kaji doktrin fahaman GISB

DR. MOHD. NA’IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah Jawatan­kuasa Khas akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman kumpulan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn. Bhd.

Menteri di Jabatan Perda­na Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jawatankuasa itu akan diletakkan di bawah seliaan pejabat menteri sendiri bagi membanteras hingga ke akar umbi fahaman dan ajaran menyeleweng.

Jelasnya, Jawatankuasa Khas ini juga akan menjalankan fungsi membantu memberikan soko­ngan data dan kajian kepada pi­hak berkuasa termasuk kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Jabatan ini menyokong penuh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menahan reman seramai 171 individu dalam Op Global bagi tujuan siasatan berkaitan GISB.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarah untuk memberikan kerjasama penuh untuk membantu pihak PDRM dalam proses siasatan.

“Selain itu, Jakim turut akan membawa isu ini kepada Ja­wa­tankuasa Muzakarah MKI untuk memutuskan dalam per­kara-perkara berkaitan akidah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im memberitahu, pihaknya akan membantu untuk menyediakan rumah perlindungan kepada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam Op Global tersebut.

Pada masa sama, kata beliau, pihaknya akan membantu memberikan khidmat runding cara dan kaunseling kepada mangsa yang terlibat.

“Sekali lagi ingin dibuat pe­negasan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan isu-isu berkaitan akidah umat Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN