KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bakal memperkasakan peranan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Belanjawan 2025.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan untuk menambah peruntukkan kepada agensi itu melalui sebahagian transaksi denda yang dikekalkan bagi menggalakkan lagi gerak kerja.
Menurut beliau, ketika ini NRES merupakan agensi kerajaan dan hanya bergantung kepada peruntukan kepada kerajaan.
“Kalau boleh denda itu sebahagiannya dikekalkan di dalam JAS. Dengan itu JAS boleh menambah dan memantapkan gerak kerja agensi ini kerana antara kekangan ketika ini adalah peralatan, jumlah pekerja dan kenderaan. Kementerian Kewangan juga terbuka (dengan cadangan itu).
“Kita juga sedang melihat untuk merealisasikan Pusat Biodiversiti Kebangsaan Malaysia yang telah dibincangkan sejak 1990-an. Itu antara yang dibincangkan dalam belanjawan untuk kita beroperasi secara kerjasama dengan swasta dan kerajaan.
“Selain itu, kita juga sedang melihat untuk memperkasa kerangka Bandaraya Rendah Karbon yang dijalankan oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), bagaimana untuk dilaksanakan lebih efektif dan menyeluruh,” katanya.
Nik Nazmi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Amalan terhadap dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan Jenama 2024, di sini, hari ini.
Pada Belanjawan 2024, sebanyak RM7.1 bilion diperuntukkan kepada NRES, berbanding RM6.5 billon pada tahun 2023.
Salah satu ciri utama bajet berkenaan ialah pelbagai langkah untuk menyokong matlamat ESG, termasuk RM2 bilion untuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta terbitan Sukuk biodiversiti sebanyak RM2 bilion untuk menanam semula hutan yang mengalami degradasi (hutan rosot) dan menjana kredit karbon.
Selain itu, sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) untuk Pemuliharaan Biodiversiti, termasuk RM60 juta bagi menambah dua kali ganda bilangan renjer hutan di samping RM10 juta untuk menyokong individu yang terkesan akibat konflik manusia-hidupan liar.- UTUSAN