Jangan sentuh keluarga saya – Uyaina Arshad - Utusan Malaysia

Jangan sentuh keluarga saya – Uyaina Arshad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA juga seorang ibu. Saya tidak mahu anak saya dirakam.”

Demikian luahan pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, ketika namanya tular beberapa hari di media sosial kerana kelantangannya menyuarakan isu gangguan sosial melibatkan kanak-kanak. 

Menerusi kes jenayah membabitkan Abang Bas yang mencuri tumpuan, Uyaina bukanlah mahu melakukan serangan peribadi melainkan mengkritik dan mempersoal tindakan yang dilakukan lelaki itu. 

Sudah adat berjuang, pasti berdepan kecaman. Ibu kepada dua orang anak itu mengakui media sosialnya dibanjiri lambakan komen yang menghina dan memakinya kerana mempunyai prinsip yang jelas. 

Tapi alah bisa tegal biasa, pengacara Wanita Hari Ini itu tetap teguh dan tidak berdiam diri.

“SAYA seorang ibu walaupun kata-kata saya tidak semestinya mewakili mereka di luar sana. Cuma secara peribadi jika anak saya sudah besar dan ke sekolah, Saya tidak mahu anak saya dirakam ketika menaiki kenderaan awam. 

“Video itu pula dimuat naik di platform media, dimasukkan lagu-lagu jiwang dengan kapsyen yang tidak sesuai. Bukan itu sahaja, video itu kemudian disimpan oleh banyak orang yang kita tidak tahu, adakah antara mereka adalah pelaku pedofilia? 

“Jadi, ketegasan saya hanyalah tindakan untuk mencegah bahawa merakam kanak-kanak sewenangnya adalah salah. Sekiranya tindakan ini ‘terlepas’, pelaku lain akan buat benda yang sama. 

“Bila perkara ini berlaku, apa yang akan terjadi kepada masyarakat kita?” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Uyaina yang juga pemegang ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Malaya menegaskan, setiap perkongsian yang dimuat naik adalah berlandaskan kepada fakta serta kajian yang telah dibuat. 

“Saya juga tidak akan bercakap sesuatu di luar konteks atau tidak disokong dengan fakta. Dengan ilmu undang-undang yang ada, saya sudah dilatih bercakap tentang sokongan rujukan. 

“Saya tidak takut menyuarakan kebenaran. Lagi pula ini bukan isu pertama yang saya suarakan dan tidak semua isu juga saya mahu ulas. Tapi perkara melibatkan kanak-kanak adalah kepentingan awam,” katanya. 

Sehingga kini, pelakon Lelaki Kiriman Tuhan itu tidak akan sesekali menutup ruangan komen dan membiarkan apa sahaja makian yang diberikan kepadanya asalkan tidak menyentuh keluarga. 

“Sebenarnya saya baca semua komen. Saya juga tidak tutup ruangan komen kerana orang akan menyangka saya takut. Cuma saya tidak akan memberi respons kepada kritikan jahat itu. 

“Lagi pula, isu ini sudah pun disuarakan ramai orang membuatkan saya juga terdorong menyuarakan sesuatu. Orang ada pengaruh dan ada platform yang besar perlu bercakap mengenainya. 

“Cuma, jangan sentuh keluarga saya. Kalau makian itu diberikan untuk saya, saya boleh terima. Tapi jika mengheret suami, anak, ibu ayah, maka saya akan ambil tindakan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya