PETALING JAYA: Pasangan pelakon, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel menggesa orang ramai agar berhenti membuat spekulasi mengenai kisah rumah tangga Nur Fazura dan Fattah Amin.
Menyedari isu itu semakin hangat diperkatakan di media sosial, Wawa berpendapat orang ramai tidak seharusnya mencetuskan sebarang andaian yang boleh menimbulkan fitnah.
“Janganlah sebarkan fitnah-fitnah itu. Fazura sendiri mana ada cakap Fattah curang. Kamu orang sahaja yang buat spekulasi sendiri,” katanya menerusi sebuah video yang tulas di TikTok.
Dalam pada itu, Aeril turut berpandangan bukan semua rumah tangga yang bergolak berpunca daripada orang ketiga.
“Kita pun tak tahu, bukan sebab curang, mungkin sebab tiada kesefahaman. Tidak semestinya, orang itu mahu berpisah sebab curang,” tegasnya.
Pada Jumaat lalu, aktres, Fazura telah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Namun, Fattah enggan menceraikan Fazura kerana masih sayang terhadap ibu kepada anaknya, Nur Fatima Aisya.
Fattah juga menegaskan dia tidak pernah ada sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana wanita lain selain Fazura seperti yang digembar-gemburkan oleh warganet.-UTUSAN