KUALA LUMPUR: Pengurus Nur Fazura, Iman Tang berpandangan keputusan pelakon tersebut melantik lima pengawal peribadi untuk menemaninya ke mahkamah semalam adalah wajar dan tidak perlu diperbesarkan.
Kata Iman atau nama sebenarnya Nur Iman Tang, kehadiran pengawal peribadi yang ramai menemani Fazura adalah perlu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Fazura memang selalu ditemani pengawal peribadi. Pada saya tindakannya itu betul kerana saya sendiri pernah berdepan situasi cemas, dicakar peminat yang ingin mengambil gambar dengan Fazura.
“Kita tak tahu apa akan berlaku semalam. Kami diberitahu, selain petugas media, peminat juga datang ke mahkamah.
“Jadi pada saya, tindakan Fazura dikawal ramai pengawal peribadi bukan isu besar. Kalau berlaku perkara tak diingini, orang juga akan pertikaikan kenapa Fazura tidak guna khidmat pengawal peribadi.
“Tapi, apabila Fazura bawa pengawal peribadi, orang tak senang melihatnya pula. Kita tidak mampu puaskan hati netizen. Banyak perkara yang netizen pertikaikan, warna pakaian Fazura yang tidak seraham dengan pengawal peribadinya pun orang persoalkan,” katanya.
Iman berkata demikian pada sidang media Konsert Govinda Hal Hebat @ Kuala Lumpur di sini petang tadi.
Semalam, Fattah dilaporkan belum bersetuju untuk melepaskan Fazura semasa sebutan kes permohonan perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Mahkamah kemudian menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu ke tarikh baharu, iaitu pada 7 Oktober ini.
Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dalam akaun masing-masing.
Tidak cukup itu, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah dibincangkan di laman sembang hingga menarik perhatian netizen.
Pada 13 September lalu, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai, namun, ia mengejutkan ramai pihak. Sehingga kini, isu yang berlaku antara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya.
Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Disoal mengenai keadaan terkini pelakon itu, Iman memaklumkan Fazura terkesan dan sering menangis ketika menceritakan isi hatinya.
“Sebenarnya, Fazura bersedih hampir setiap malam. Kadang kala, kami berborak lewat malam dan dia tidak dapat menahan kesedihan.
“Mana-mana wanita yang mengimpikan alam perkahwinan tidak ingin perkara sebegini berlaku kepadanya.
“Saya tahu dia kuat. Tetapi apabila dia menelefon saya, dia menangis. Saya katakan kepada dia, menangislah sepuasnya agar dia dapat kelegaan. Jangan tertekan dan pendam perasaan,” kongsinya.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Fatima Aisya.