KUALA LUMPUR: Pengurus Nur Fazura, Iman Tang memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian mengenai status rumah tangga pelakon tersebut.
Iman dalam kenyataan berkata, sebarang spekulasi tidak wajar ditimbulkan sementelah tiada kenyataan dikeluarkan oleh Fazura atau suaminya, Fattah Amin mengenai perkara tersebut.
“Pihak pengurusan, peguam dan Fazura sendiri mengesahkan tiada kenyataan dikeluarkan oleh Fazura semenjak kisah permohonan cerainya tular.
“Permohonan yang difailkan adalah atas kebenaran mahkamah mengikuti kehendak undang-udang.
“Pihak pengurusan berharap tiada pihak membuat sebarang kenyataan berbentuk andaian sendiri bagi mengelakkan spekulasi,” katanya.
Fazura, 40, pada 13 September lepas mengejutkan ramai pihak apabila memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah, 34, di Mahkamah Syariah Petaling, di sini.
Utusan Malaysia menerusi artikel bertarikh 17 September lalu melaporkan Fazura memohon suaminya melepaskan dirinya secara baik.
Terdahulu, khabar angin bertiup kencang apabila timbul dakwaan kononnya rumah tangga pasangan itu bergolak disebabkan gangguan orang ketiga.
Selain itu, Fazura dan Fattah juga mencetuskan pelbagai tanda tanya apabila tidak lagi berkongsi gambar bersama di media sosial.