GEORGE TOWN : Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bahawa mereka telah mengambil tindakan segera untuk membaiki jambatan kabel yang runtuh di sini, malam tadi, memandangkan ia adalah projek baharu yang belum dimula tugas.
“Kerja-kerja memperkukuh jambatan kabel sedang giat dijalankan, termasuk penambahan cerucuk di bahagian tengah bagi meningkatkan kekuatan struktur.
“TNB juga memberi jaminan bahawa projek ini akan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pada masa yang sama, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti punca runtuhan dan merangka pelan mitigasi bagi mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Dalam kejadian tersebut, jambatan kabel atau ‘cable bridge’ milik TNB di Projek 275kV, Bayan Lepas runtuh akibat struktur binaan yang tidak dapat menampung berat kabel 275kV.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, kejadian berlaku di Cable Bridge nombor satu di kawasan syarikat Motorola iaitu sebahagian daripada projek yang menghala ke syarikat Intel di sini.
Bagaimanapun, beliau berkata, TNB telah mengambil tindakan segera dengan menarik keluar kabel, membuka semula pepasangan kabel dan menambah cerucuk (piling) di tengah untuk menambah kekuatan ‘cable bridge’ berkenaan.
Sementara itu, TNB dalam kenyataan yang sama menjelaskan, pihak Intel telah dimaklumkan mengenai situasi itu dan TNB juga memberi jaminan bahawa insiden tersebut tidak akan menjejaskan projek-projek lain di Pulau Pinang ketika ini.
Katanya, untuk sebarang pertanyaan atau penjelasan lanjut, TNB boleh dihubungi menerusi ‘private message’ (PM) di Facebook TNB Careline, ‘direct message’ (DM) ke X @Tenaga_Nasional atau emel kepada [email protected]