KUALA LUMPUR: Para peniaga di Jalan Masjid India di sini mengeluh apabila jualan harian mereka semakin merosot akibat insiden tanah jerlus Ogos lalu.
Dalam kejadian pada 23 Ogos lalu, seorang pelancong dari India, G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang jerlus dan sehingga sekarang wanita itu belum ditemui.
Tinjauan tengah hari tadi mendapati suasana di sekitar Jalan Masjid India jika dahulu meriah kini suram terutama ketiadaan pelancong.
Seorang pekerja kedai pakaian kecewa kerana jualannya semakin merosot dari hari ke hari.
“Selepas kejadian 23 Ogos lalu, kedai diarah tutup dan kini bila dibenarkan buka semula 1 September lalu tiada pelanggan.
“Masalahnya orang takut tetapi turut menjadi punca jalan utama tempat tanah jerlus pun masih ditutup jadi mungkin orang ramai malas atau takut apabila ampak kawasan itu masih ditutup,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja di sebuah kedai emas berkata, walaupun lubang itu akan diturap, tidak mustahil ia akan berlaku lagi pada musim tengkujuh yang akan datang.
“Kalau musim hujan, kami pun rasa takut mahu berjalan di kawasan tersebut.
“Lebih-lebih lagi terdapat lubang baharu terbentuk di hadapan kedai kami baru-baru ini tetapi kali ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pantas mengambil tindakan,” katanya. – UTUSAN