Jakim minta tambahan RM1.2 bilion dalam belanjawan 2025

Jakim minta tambahan RM1.2 bilion dalam belanjawan 2025

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar menyampaikan sijil Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) 2024 kepada pelajar sarjana muda syariah, Ally Aiman Anuar yang turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dr. Roslan Said (kanan) dalam majlis yang berlansung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, hari ini. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta pertimbangan Kementerian Kewangan (MOF) menambah RM1.2 bilion dalam belanjawan 2025 yang dibentangkan bulan depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya mengharapkan inisiatif dan cadangan dipertimbang sewajarnya agar dapat merealisasikan kerangka Malaysia Madani.

Beliau berkata, pihaknya memohon peruntukan yang besar melibatkan inisiatif bagi mengukuhkan pembangunan modal insan.

“Inisiatif ini melibatkan pembangunan modal insan sebagai contoh guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), guru tahfiz dan penyelenggaraan institusi pendidikan yang menjurus kepada pembangunan modal insan.  

“Kita melihat modal insan sangat penting dan perlu ditekankan adalah pendidikan sama ada sekolah pondok, maahad tahfiz dan sekolah-sekolah agama.

“Selain itu, yayasan wakaf juga telah mengemukakan beberapa inisiatif kepada pihak Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), hari ini. 

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.

Pada Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta kepada Jakim bagi menyelenggara dan menaik taraf prasana institusi pendidikan Islam iaitu sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz yang berdaftar

Mohd. Na’im berkata, pihaknya memahami kekangan untuk mendapat peruntukan tersebut apabila perlu melihat kepada kementerian-kementerian yang lain juga.

“Ia keputusan Kementerian Kewangan nanti untuk masukkan dalam Belanjawan 2025. Saya faham sebab Perdana Menteri terpaksa melihat kepada kementerian-kementerian yang lain juga.

“Dengan kekangan bajet yang kerajaan ada, sudah tentu kerajaan akan mempertimbangkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN