Jakim diarah bertemu GISB, sedia kerjasama polis

Jakim diarah bertemu GISB, sedia kerjasama polis

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarahkan mengadakan pertemuan dengan pihak Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) susulan isu yang terkait dengan syarikat berkenaan berhubung eksploitasi kanak-kanak dan ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan maklum balas serta penjelasan daripada pihak terbabit.

Pada masa sama, kata beliau, Jakim akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dalam melakukan siasatan kepada isu yang dikaitkan dengan pihak tersebut.

“Jakim bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut diminta untuk memperhebatkan usaha-usaha penerangan tentang kepentingan menjaga akidah kepada umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Cawangan Khas (SB) Bukit Aman dilaporkan sedang memantau GISB susulan empat laporan polis yang diterima berkaitan eksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, pihaknya kini menjalankan pemantauan terhadap organisasi itu susulan laporan polis dilakukan di Selangor mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Laporan berkenaan dipercayai berkaitan eksploitasi kanak-kanak untuk memungut dana, derma dan sebagainya selain pemantauan berdasarkan senarai ajaran sesat termasuk GISB.

Mohd. Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sekali-kali tidak akan berkompromi dalam isu-isu berkaitan akidah umat Islam.

Ini kerana katanya, ia adalah perkara asas dalam agama Islam yang mesti dipelihara setiap masa.

“Apa-apa kegiatan yang diragui dan boleh memesongkan akidah umat Islam, kami meminta masyarakat yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan untuk membuat laporan kepada pihak PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkuasa agama iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

“Ini penting sebagai asas dan maklumat sokongan kepada pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri membuat siasatan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN