PETALING JAYA: Pejabat Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menganjurkan Program Memburu Ikan Asing bagi meningkatkan kesedaran masyarakat kepentingan memelihara ekosistem perairan dan sumber perikanan negara
Program dengan kerjasama RHB Bank Berhad menarik penyertaan kira-kira 250 peserta. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemeliharaan ekosistem perairan dan keperluan mengekang populasi spesies ikan asing invasif dari terus membanjiri perairan umum yang boleh menjejaskan spesies ikan asli.
Antara aktiviti utama program termasuk menjala ikan serta pelepasan benih ikan tempatan disumbangkan oleh RHB Bank.
Pengarah Kanan Bahagian Akuakultur, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Azahari Othman berkata, program merupakan langkah penting dalam usaha jabatan untuk memulihara sumber perikanan yang memerlukan sokongan daripada sektor korporat dan masyarakat.
“DOF berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab memelihara sumber perikanan. Jabatan juga berharap selepas ini lebih ramai lagi sektor swasta turut serta dalam usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan yang dilaksanakan.
“Pihak kami juga sangat menghargai sumbangan RHB Bank bagi pelepasan benih ikan tempatan. Dengan pelepasan benih ikan ini, kita bukan sahaja berusaha untuk memperkayakan biodiversiti di kawasan berkenaan, tetapi juga memberi peluang kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam usaha pemeliharaan sumber perikanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada majlis itu, DOF menerima sebanyak 20,000 benih ikan puyu dan 10,000 benih ikan lampam sumbangan RHB Bank yang akan dilepaskan di Tasik Varsiti, Universiti Malaya dan Sungai Gombak.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Mohd. Rashid Mohamad berkata, di bawah Strategi Together We Progress 24 (TWP24 RHB) pihaknya menekankan sokongan kepada komuniti rentan, termasuk golongan B40, melalui sokongan kepada perniagaan kecil dan inisiatif pemuliharaan alam sekitar.
“Kami berbangga menjadi sebahagian dari program yang dijalankan pada hari ini. Pihak kami memberi tumpuan kepada ancaman spesies ikan invasif di sungai tempatan.
“Aktiviti seperti ini bukan sahaja memelihara biodiversiti, malah membantu memulihkan ekosistem dan melindungi spesies ikan tempatan yang terancam. Ia juga dapat membantu membina hubungan antara kakitangan, pelanggan, dan komuniti, serta menyokong matlamat kelestarian jangka panjang dan tanggungjawab sosial korporat kami,” jelasnya. – UTUSAN