PETALING JAYA: Selepas didakwa kembali bersama dengan bekas kekasih, penyanyi, Sufian Suhaimi menyatakan hubungannya bersama wanita yang dikenali sebagai Rania Al-Sadat kini hanya sekadar kawan.
Sufian berkata, video yang tular itu adalah rakaman lama sewaktu dia dan Rania masih bersama.
“Itu video lama sebenarnya dan saya rasa apa yang pernah saya kongsikan kali terakhir itu, jawapannya tetap sama.
“Cuma, kami baik-baik sahaja dan tiada sebarang drama. Masing-masing baik dan hubungan itu lebih baik sebagai kawan,” katanya.
Sufian berkongsi perkara tersebut ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media program realiti, The Chosen One di sini, semalam.
Mengakui dirinya lebih selesa berkawan dengan wanita itu, penyanyi lagu Menggenggam Bahagia itu mendedahkan mereka masih lagi berhubung untuk sebarang urusan tertentu.
“Kami masih berhubung sekiranya ada apa-apa urusan yang perlu dibincangkan, keperluan atau bantuan yang kami perlukan. Insya-Allah, kami sentiasa ada untuk satu sama lain,” jelasnya.
Terdahulu, Sufian dikhabarkan telah merisik Rania dalam sebuah majlis tertutup sekitar Oktober tahun lalu.
Namun, hasrat penyanyi itu untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini terkubur selepas mendedahkan wanita itu telah memulangkan semula cincin merisik dan hubungan mereka sudah berakhir pada Mac lalu.-UTUSAN