ITC tetap sasaran 350 hotel terima MFAR

ITC tetap sasaran 350 hotel terima MFAR

NIZRAN (kiri) ketika beramah mesra bersama media baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 350 hotel disasarkan memperoleh sijil Pengiktirafan Pelancongan Mesra Muslim (MFAR) menjelang akhir tahun 2025.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC) Nizran Noordin berkata, jumlah tersebut ditetapkan bagi menggalakkan dan memberi keyakinan kepada pelancong muslim sama ada dalam atau luar negara.

Bagaimanapun katanya, setakat ini jumlah hotel yang menerima sijil berkenaan masih rendah iaitu hanya 26 premis termasuk 16 hotel dan 10 agensi.

“26 premis menerima sijil MFAR pada tahun ini. Sekarang kita sedang memikirkan bagaimana untuk mempercepatkan jalinan kerjasama dan perhubungan bagi mencapai sasaran 350 hotel memperoleh sijil berkenaan ada hujung tahun 2025.

“Sekiranya kita dapat mencapai sasaran berkenaan, baru mudah dan dapat menggalakkan pelancongan berkonsep mesra muslim di negara ini,” katanya ketika menghadiri majlis mesra bersama media bersempena Bulan Pelancongan Islam 2024 (ITM 2024) di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nizran berkata, penganjuran ITM 2024 yang berlangsung dari 16 Ogos sehingga 30 September ini mengetengahkan pelbagai aktiviti mempromosi pelancongan berkonsepkan Islam dan pelancongan serta Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) Malaysia kepada dunia.

“Kita juga mengetengahkan banyak pemain industri dalam promosi dan menonjolkan pelancongan Islam dan mesra Muslim.

“Berdasarkan pengalaman tahun lalu ini, kalau saya lihat balik ia amat penting untuk kita mengangkat pelancongan mesra muslim kerana bagi setiap seratus peratus pelancong yang tiba dari luar negara, 20 peratusnya ialah pelancongan Islam. Justeru keperluan mereka perlu kita santuni dan ketahui oleh pemain industri yang mungkin ada beragama Islam atau sebaliknya,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN