KUALA LUMPUR: Pengisytiharan harta oleh semua anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan bukan suatu masalah dan boleh dilakukan oleh semua Jemaah Menteri.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau sendiri telah mengisytiharkan segala asetnya sewaktu menjadi menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Isytiharlah..apa ada masalah?
“Dulu saya menteri, semua saya declare (isytihar).
“(Sepatutnya tiada masalah Perdana Menteri dan semua menteri isytihar harta?) ‘tidak ada masalah’,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita Parlimen Titiwangsa di Ampang Hilir, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beliau sedia mengisytiharkan harta pada bila-bila masa, sambil menekankan kepentingan ketelusan dalam tadbir urus ketika membidas ahli politik yang keberatan mengisytiharkan harta.
Susulan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terkejut apabila Anwar tidak mengisytiharkan harta selepas hampir dua tahun menjadi Perdana Menteri.
Namun, gesaan itu dibuat terhadap ahli parlimen pembangkang dalam memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada mereka.
Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menolak rundingan MoU itu berkata, ia perlu dilakukan anggota pentadbiran terlebih dahulu seperti diamalkan kerajaan sebelum ini.
Untuk rekod, laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini memaparkan seramai 63 anggota Kabinet termasuk bekas Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan pendapatan dan harta masing-masing.
Bagaimanapun, jumlah harta dan pendapatan mereka tidak dipaparkan.
Perkara sama turut dibuat oleh bekas Perdana Menteri sebelumnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta anggota kabinetnya.- UTUSAN