KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan hampir dua jam di Bukit Aman hari ini.
Menurut peguamnya, Syahredzan Johan, Setiausaha Publisiti DAP itu ditanya kira-kira 20 soalan dan tiada rampasan dilakukan oleh pihak polis.
Syahredzan yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata, Teresa ketika ini disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Tiada keterangan kedua akan direkodkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) selepas ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Seorang lagi peguam Teresa, Ramkarpal Singh pula berkata, polis harus memanggil beberapa pihak lain untuk melengkapkan siasatan.
“Isu ini sudah dijelaskan oleh Teresa dan kita berharap siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, Teresa hadir ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berkaitan kenyataan pensijilan halal didakwa boleh membebankan peniaga di Malaysia.
Teresa dilihat memakai baju kurung berwarna putih tiba kira-kira pukul 9.42 pagi ditemani peguamnya yang juga Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan.
Rakaman percakapan akan dibuat di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),Bukit Aman. – UTUSAN