Isu sijil halal: Teresa dakwa kenyataan disalah erti, sedia beri kerjasama kepada polis

Isu sijil halal: Teresa dakwa kenyataan disalah erti, sedia beri kerjasama kepada polis

TERESA KOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden DAP, Teresa Kok mendakwa kenyataanya berhubung pensijilan halal disalah erti hingga mendatangkan banyak salah faham dan menyebabkan beliau didakwa tidak memahami islam serta menyokong pensijilan tersebut.

Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, beliau menyokong usaha kerajaan khususnya Jabatan Kemajuian Islam Malaysia (Jakim) untuk mempromosikan pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman.

Kata beliau, standard yang digunapakai oleh Jakim dalam pensijilan halal adalah di antara yang paling tinggi di dunia.

“Saya mempromosi pensijilan halal Malaysia sejak tahun 2008 bila saya pegang Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor sehingga hari ini.

“Dalam banyak pertemuan dengan rombongan bisnes dan agensi kerajaan asing, salah satu agenda yang saya bangkitkan adalah meminta mereka mendapatkan pensijilan halal dari Malaysia sekiranya mereka ingin mengeksport apa-apa makanan ke Malaysia ataupun negara-negara Islam yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan, polis akan mengambil keterangan daripada Teresa berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal yang dikatakan membebankan peniaga di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan selain Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Teresa berkata, beliau hanya menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan mengutarakan masalah serta suara hati rakyat berbilang kaum.

“Itu sebabnya saya minta kerajaan mengkaji semula cadangan ini. Kenyataan saya tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan Jakim atau tidak menghormati agama Islam,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, dirinya mengambil maklum respons Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenyataannya sebelum ini.

“Tetapi ingin menjelaskan bahawa saya tidak dapat membangkitkan pandangan saya melalui saluran dalaman, kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar membangkitkan cadangan ini melalui forum terbuka tanpa mengadakan libat-urus dengan wakil rakyat terlebih dahulu.

“Oleh yang demikian, saya tidak mempunyai peluang untuk menyampaikan pandangan melalui saluran dalaman,” jelasnya.

Tambahnya, beliau akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis yang memanggil untuk memberi keterangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN