Isu sijil halal: Teresa cuma suarakan kebimbangan bukan Islam - Utusan Malaysia

Isu sijil halal: Teresa cuma suarakan kebimbangan bukan Islam

ANTHONY Loke Siew Fook disambut perwakilan pada Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak Ke-20 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Isu sijil halal yang dibangkitkan Teresa Kok tidak harus dipolemikkan kerana Ahli Parlimen Seputeh itu cuma menyuarakan kebimbangan dalam kalangan pengusaha restoran bukan Islam kemungkinan mereka juga diwajibkan mendapatkan sijil halal.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, mungkin Teresa mendapat maklumat daripada pengundinya yang bimbang mereka juga perlu memperoleh sijil tersebut.

Menurutnya, namun perkara itu seharusnya dipolitikkan kerana ia baru di peringkat cadangan dan belum diangkat untuk pertimbang atau dibincangkan di peringkat Kabinet.

“Sebagai Ahli Parlimen, beliau (Teresa) ada tanggungjawab untuk menyatakan pandangan dan apa yang dilontarkan beliau  ialah kebimbangan terutama restoran-restoran bukan Islam yang bimbang mereka juga akan diwajibkan untuk mendapatkan sijil halal. Apa yang dilontarkan itu adalah satu kebimbangan daripada masyarakat bukan Islam.

“Itu pandangan beliau sebagai Ahli Parlimen. Dia menyatakan kebimbangannya, mungkin dia dapat respon atau makluman daripada pengundinya, sebab itu dia nyatakan kebimbangan.

“Namun apa sahaja dasar dan keputusan sudah tentu akan dibincangkan di Kabinet. Lagi pun perkara ini belum diangkat atau dipertimbangkan oleh kerajaan. Ia belum lagi sampai ke peringkat membuat keputusan, kerana ia akan melibatkan pindaan undang-undang, jadi perkara ini tidak perlu dipolitikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada perasmian Konvensyen Biasa DAP Negeri Perak ke-20 di Ipoh Convention Centre (ICC) di sini hari ini.

Mengenai kritikan terhadap kenyataan Teresa itu, Anthony Loke berkata, kritikan tersebut dibuat oleh mereka yang tidak berada dalam jemaah menteri.

Katanya, mereka yang tidak berada dalam Kabinet akan membuat kenyataan-kenyataan yang mengkritik berhubung isu tersebut.

“Memang biasa banyak isu dipolitikkan namun kita dalam kerajaan cuba selesaikan isu ini. Apa pun isu yang timbul boleh diselesaikan di peringkat kerajaan melalui jemaah menteri.

“Kalau yang bukan berada dalam kerajaan, mereka membuat kenyataan-kenyataan sedemikian tapi kita yang berada dalam kerajaan akan bincang dan selesaikan dalam peringkat jemaah menteri

“Kritikan berhubung isu sijil halal ini mungkin daripada pemimpin yang tidak duduk dalam kerajaan, jadi saya harap ia tidak dipolemikkan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak mengkritikan Teresa Kok supaya tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam terutama membabitkan pemilikan sijil halal terhadap premis perniagaan membabitkan restoran.

Ini selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun Teresa mendakwa langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Katanya, ia berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya