Isu sijil halal: Keterangan Teresa Kok diambil esok

Isu sijil halal: Keterangan Teresa Kok diambil esok

TERESA KOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Keterangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung siasatan isu pensijilan halal akan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) esok.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Seri Razarudin Husain ketika dihubungi berkata, keterangan Ahli Parlimen berkenaan akan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pukul 10 pagi.

Kata beliau, terdapat beberapa saksi lain juga akan dipanggil bagi membantu siasatan termasuk pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kita (polis) juga akan menentukan kemudian untuk memanggil saksi-saksi lain,” katanya secara ringkas.

Semalam, PDRM mengesahkan telah menerima lima kertas laporan terhadap Teresa berhubung kenyataanya membabitkan isu pensijilan halal yang dikatakan membebankan peniaga di Malaysia.

Susulan itu, satu kertas siasatan akan dibuka di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan selain Seksyen 505(b)Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Siasatan akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) melibatkan isu berkaitan raja, agama dan kaum (3R).

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kenyataan dikeluarkan Teresa dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kenyataan Naib Presiden DAP itu hanya mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Anwar juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Teresa tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

Kelmarin, Teresa berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Ahli Parlimen kerajaan dari DAP itu berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ini kerana, Teresa mendakwa pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambahkan kos pentadbiran.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN