Isu GISBH: Tidak bijak salah, kritik Jakim - Persatuan ulama

Isu GISBH: Tidak bijak salah, kritik Jakim – Persatuan ulama

Persatuan Ulama Malaysia (PUM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berpendirian tidak wajar dan tidak bijak untuk mana-mana pihak mengkritik serta menyalahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam isu GISB Holdings (GISBH). 

Setiausaha Agungnya, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan pihak berkuasa melakukan siasatan dan mengambil tindakan terhadap GISBH.

Pada masa sama, katanya, terdapat beberapa pihak yang dilihat cuba mengkritik dan menyalahkan institusi kerajaan yang menjaga hal ehwal agama khususnya Jakim. 

Justeru, katanya, kritikan terhadap Jakim itu dilihat seperti ingin menaikkan dan memberi merit kepada golongan tertentu sahaja yang dianggap membongkar isu GISBH. 

“Sebagai pihak yang menyelaras hal ehwal agama, Jakim telah banyak terlibat dalam usaha-usaha bagi memastikan GISB ini tidak melanggar sebarang bentuk peraturan dan undang-undang yang ada dalam negara. 

“Sudah tentu Jakim perlu bertindak dengan agensi-agensi lain mengikut fungsinya, terutama agensi yang diberikan kuasa penguatkuasaan. 

“Sehubungan dengan itu, PUM sangat tidak bersetuju untuk menyalahkan mahupun meremehkan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak Jakim dalam menangani isu GISB tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Sebelum ini media melaporkan, seorang ahli akademik menyarankan Jakim dirombak selepas mendakwa mengambil tindakan yang agak lewat ke atas entiti terkait GISBH. 

Menurut ahli akademik itu, beberapa pihak berkuasa agama tidak mahu memberi perhatian serius kepada dapatan dikumpulan pengkaji serta aktivis yang memantau GISB menyebabkan mereka terpaksa bertemu dengan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin untuk memintanya menyuarakan isu tersebut melalui ceramah dan program audio siarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Roslan berkata, tindakan mengkritik usaha dilakukan Jakim hanya akan mengeruhkan suasana dan tidak sedikit pun membantu dalam menangani isu berkenaan.

Oleh itu, katanya, PUM berharap agar Jakim dapat meneruskan fungsinya serta menjadi agensi utama yang dipercayai masyarakat dalam mendepani cabaran yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia. 

“Sewajarnya kita hargai usaha semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam hal ini. Semua agensi bertindak dalam ruang lingkup dan bidang kuasa masing-masing. 

“Sebagai rakyat yang prihatin, marilah kita sama-sama membantu dan berusaha agar segala bentuk amalan yang tidak tepat dengan syariat Islam dan peraturan di Malaysia ini dapat ditangani sebaiknya melalui penyelarasan di peringkat Persekutuan oleh Jakim dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa agama di negeri-negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya