Isu GISB dibawa dalam Jawatankuasa Muzakarah MKI Selasa ini

Isu GISB dibawa dalam Jawatankuasa Muzakarah MKI Selasa ini

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Isu berkaitan doktrin fahaman Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) akan dibawa sebagai salah satu isu untuk dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, majlis itu akan bersidang pada 24 hingga 26 September ini yang dipengerusikan Datuk Dr. Nooh Gadot dan dianggotai mufti negeri-negeri.

“Jabatan ini menyokong penuh tindakan penguatkuasaan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menahan pemimpin dan ahli-ahli GISB Holdings.

“(Tindakan ini termasuk) mendakwa mereka ke muka pengadilan berpandukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Na’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga telah memberikan kerjasama penuh bagi membantu pihak PDRM dalam proses siasatan isu GISB.

Pada masa sama, katanya, Jakim telah mengadakan pertemuan bersama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri.

Sejak 10 September lalu, polis melakukan operasi dikenali sebagai Op Global bagi menyelamatkan kanak-kanak dipercayai teraniaya termasuk daripada segi seksual di rumah perlindungan dipercayai milik GISBH.

Siasatan lanjut kemudian mempercayai syarikat tersebut yang dibangunkan oleh bekas ahli kumpulan yang diharamkan iaitu al-Arqam, disyaki masih mengamalkan ajaran menyalahi syariat Islam termasuk memuja bekas pemimpinnya, Allahyarham Ashaari Muhammad yang lebih dikenali sebagai Abuya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN