SHAH ALAM: Isu gaji berterusan menjadi persoalan dalam kalangan graduan terhadap permintaan dan penawaran kerja apabila peluang pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka masih dianggap tidak setaraf kelayakan.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, baginda cakna dengan isu yang melanda golongan itu walaupun peningkatan taraf sistem pendidikan tinggi melahirkan ramai graduan berkualiti.
“Faktor ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan pekerjaan dari bidang tertentu juga perlu dikaji. Terdapat lambakan graduan yang melebihi dari permintaan, dan ada juga situasi, penawaran kerja melebihi kepakaran yang disediakan.
“Bagaimanakah kita melihat perkara ini? Apakah resolusi yang boleh diberikan agar graduan-graduan yang terkesan ini mempunyai jalan penyelesaian dengan menyumbangkan khidmat mereka dalam bidang yang lain?,” titahnya ketika berucap pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-99, hari ini.
Jelas baginda, isu diskriminasi gaji, khususnya melibatkan graduan yang baru menamatkan pengajian perlu dikaji semula dengan penetapan bayaran minimum mengikut keperluan, ekonomi dan inflasi semasa.
“Kerajaan harus menilai situasi ini dan mencadangkan solusi agar anak-anak bangsa tidak tercicir dengan kemajuan arus perdana. Sokongan kerajaan pastinya amat penting dalam memastikan kelangsungan kehidupan dan kebajikan mereka terjamin,” tegasnya.
Malah, Tengku Permaisuri menyarankan institusi pengajian tinggi (IPT) meneliti bidang-bidang tujahan baharu yang relevan dengan keperluan industri agar dapat mempersiapkan graduan untuk bekerja dan memperkempangkan kerjaya.
Katanya lagi, ilmu keusahawanan dan penggunaan teknologi digital harus diperkasa agar kemahiran tambahan itu dapat memberi pendedahan kepada graduan untuk bergerak ke hadapan dalam apa jua situasi yang melanda,” ujarnya.
Dalam pada itu, baginda yang juga pro canselor universiti itu menegaskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti harus bekerja keras untuk memastikan graduan lebih relevan dengan pasaran kerja.
“Dalam usaha melahirkan bakat yang berinovasi serta inovatif, masyarakat dan sektor industri perlu menyokong IPT. Melalui sumbangan dana dan kerjasama yang erat antara IPT, industri, dan masyarakat, ekosistem pendidikan yang dinamik dapat dibentuk dengan baik sekali.
“Keperluan bekalan sumber manusia yang kompeten, secara tidak langsung akan memberikan kesan positif kepada pembangunan negara.
“Kolaborasi yang erat dengan industri dan badan profesional bukan sahaja membantu universiti dalam perancangan kurikulum, malah menggalakkan penyelidikan di peringkat sarjana dan doktor falsafah yang signifikan dalam menyumbangkan penyelesaian masalah,” jelasnya.
Pada istiadat konvokesyen UiTM kali ini, seramai 28,020 graduan akan menerima skrol masing-masing bermula hari ini hingga 17 Oktober dalam keseluruhan 27 sidang yang diadakan di UiTM Shah Alam serta Kampus Sabah dan Sarawak. – UTUSAN