Isu air terus membelenggu penduduk Mukim 5 Sungai Bakap

Isu air terus membelenggu penduduk Mukim 5 Sungai Bakap

PBAPP telah menggerakkan beberapa lori tangki ke kawasan perumahan yang menghadapi masalah gangguan bekalan air di Mukim 5, Sungai Bakap, Pulau Pinang sejak enam hari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk di Mukim 5, Sungai Bakap di sini bagaikan tiada kesudahan apabila penduduk kawasan berkenaan terus dibelenggu dengan isu tersebut saban hari.

Terbaharu iaitu sejak enam hari lalu, penduduk di kawasan-kawasan perumahan di Mukim 5 termasuk di Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Taman Sungai Duri Indah, Kampung Permatang Ara dan Wellesley berdepan masalah bekalan air selama berbelas jam sehari.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, sepanjang tempoh itu juga, penduduk hanya menerima bekalan air bermula dari pukul 1 pagi hingga bekalan terputus semula kira-kira pukul 6 pagi.

“Minggu lepas kami dimaklumkan berlaku kejadian paip besar bocor di Politeknik Permatang Pauh,tapi, notis rasmi daripada pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan, kerja-kerja membaiki paip ditangguhkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan supaya penduduk dapat buat persiapan.

“Namun, penduduk tetap mengalami masalah gangguan bekalan air sejak hari kejadian paip pecah itu sehingga ke hari ini dan ia masih belum diselesaikan,” katanya di sini, hari ini.

KHAIRUL AHMAD FITRI SUHAIMI

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah menyiarkan mengenai masalah gangguan bekalan air yang di hadapi oleh penduduk di situ iaitu sejak 2019 khususnya di empat kawasan di Mukim 5 iaitu di Taman Seruling Emas, Taman Widuri, Sungai Duri Indah dan Kampung Wellesley.

Mengulas lanjut, Khairul berkata, selain gangguan bekalan air, turut berlaku ialah masalah tekanan air rendah di kawasan perumahan penduduk sehingga menyebabkan tangki air di atas bumbung rumah penduduk tidak dapat diisi.

“Bekalan air datang dengan tekanan yang rendah. Jadi, memang tangki di atas bumbung takkan dapat penuh dalam waktu yang singkat,” katanya yang turut memberitahu, ketika gangguan bekalan air itu berlaku, terdapat dalam kalangan penduduk yang terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian.

Dalam pada itu, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Nurhidayah Che Rose berkata, PBAPP telah menggerakkan lima buah tangki air untuk menghantar bekalan ke kawasan terjejas serta tiga unit jumbo bagi mengisi tangki sedutan di rumah pam Mukim 5 dengan bantuan anggota bomba sukarelawan.

“Selain itu, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal juga telah menyalurkan bantuan air mineral kepada penduduk serta membantu menyediakan tong-tong kepada penduduk untuk mengisi air buat sementara.

“Ketika ini, usaha sedang dijalankan oleh PBAPP untuk membaiki kebocoran paip dan ia mengambil tempoh tertentu untuk membaikinya,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN