Isu air, terpulang kepada Kedah – Kon Yeow

Isu air, terpulang kepada Kedah – Kon Yeow

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan nege­ri Pulau Pinang akan memberi tindak balas berhubung isu tuntutan caj air mentah dari Sungai Muda yang dibekalkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berdasarkan tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sekiranya kerajaan Kedah membawa perkara itu ke mahkamah, Kerajaan Pulau Pinang juga akan menjawab isu itu di mahkamah.

“Isu air sudah banyak kali saya jawab dan jawapan saya sama juga iaitu terpulang kepada Kedah mahu ambil tindakan.

“Kita (Pulau Pinang) akan beri respon. Kalau cuma cakap, kita jawab cakap saja. Kalau masuk mahkamah, kita akan jawab dalam mahkamah,” katanya selepas menghadiri majlis perjanjian pajakan bagi projek Hotel Warisan 1926, di sini semalam.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kedah akan ‘mengheret’ Pulau Pinang ke mahkamah untuk menuntut bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang dibekalkan kepada PBAPP sebelum ini.

Muhammad Sanusi berkata, hal demikian kerana, pihak pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang sendiri yang mahu perkara tersebut diselesaikan melalui proses mahkamah.

Terdahulu, isu tuntutan caj air mentah itu timbul semula ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini.

Ia berikutan dakwaan Pe­ngerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri itu, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria bahawa Pulau Pinang masih gagal membuat bayaran walaupun satu sen kepada Kedah biarpun tuntutan berkenaan telah dibuat sejak 2010.

Untuk rekod, Kedah sebelum ini telah mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan PBAPP mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peluang Pulau Pinang sekiranya kes tuntutan caj air mentah itu dibawa ke mahkamah, Kon Yeow berkata, mahkamah belum pun memutuskan mengenai perkara itu buat masa ini.

“Tetapi memang ada pelbagai undang-undang dan konvensyen antarabangsa yang mengawal penggunaan sumber air yang melibatkan lebih dari satu negara mahu pun negeri,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding pada pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang akan berlangsung September ini, Kon Yeow berkata, beliau tidak mahu mengulas mengenai perkara tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN