Isu Air: Salahkan Warisan, GRS cuba tutup kegagalan sendiri - Mohd. Shafie - Utusan Malaysia

Isu Air: Salahkan Warisan, GRS cuba tutup kegagalan sendiri – Mohd. Shafie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Tindakan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menuding jari terhadap Parti Warisan (Warisan) yang didakwa punca masalah air semakin teruk, disifatkan satu cubaan untuk menutup kelemahan dan kegagalan sendiri.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, jika dilihat selepas Warisan menamatkan kontak enam syarikat yang menyelenggara 58 loji rawatan air, tiada isu air yang signifikan dilaporkan berlaku di Sabah pada 2018.

Beliau berkata, krisis air hanya bermula selepas GRS mengambil alih kawalan kerajaan negeri pada akhir 2020. Sejak itu, pengguna mengalami isu seperti air masin di Sandakan, tiada bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan gangguan air yang kerap.

Maka, katanya, dakwaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa Warisan yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap masalah air pada masa ini adalah satu tuduhan tidak berasas. Ini satu cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalan pentadbiran GRS.

“Sepatutnya kerajaan memberi tumpuan kepada mencari penyelesaian dan bukannya menyalahkan pihak lain. Krisis air di Sabah adalah isu yang telah lama wujud.

“Namun, masalah ini semakin teruk di bawah kepimpinan Hajiji. Menyalahkan sepenuhnya Warisan adalah satu percubaan jelas oleh GRS untuk menutup kelemahan dan kegagalan mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, kerajaan Warisan Plus menamatkan kontrak enam syarikat kerana ketidakseimbangan yang ketara. Kontrak itu merupakan sebahagian besar daripada skandal “watergate” Sabah yang terkenal, yang berlaku di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Tan Sri Musa Aman.

Keputusan ini dibuat bukan sahaja untuk menangani terma yang tidak adil tetapi juga  meningkatkan pengurusan air di seluruh negeri. Selepas penamatan, operasi dan penyelenggaraan loji diserahkan kepada Jabatan Air.

Langkah yang diambil itu sebagai usaha penjimatan kos. Biarpun kerajaan membayar pampasan berjumlah RM315 juta namun, kerajaan berjaya menjimatkan RM685 juta daripada kontrak bagi tempoh 20 tahun tersebut, katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN