Intai dan rakam wanita `lepas hajat' dalam tandas, perbuatan tidak bermoral - Majistret - Utusan Malaysia

Intai dan rakam wanita `lepas hajat’ dalam tandas, perbuatan tidak bermoral – Majistret

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang majistret menyifatkan seorang nelayan muda sebagai individu tidak bermoral ekoran perbuatannya mengintai seorang wanita ketika membuang air besar dalam tandas dan menyimpan rakaman tersebut dalam telefon bimbitnya.

Majistret Rais Imran Hamid menyelar tindakan Muhamad Aiman Aqmal Mohammad, 23, kerana tidak menjaga kesantunan dan kehormatan masyarakat apatah lagi selepas lelaki itu mengaku melakukannya untuk jangkamasa tertentu.

Beliau turut menimbangkan tahap kesengajaan tertuduh melakukan perbuatan tersebut kerana mengganggu privasi dan kehormatan wanita berusia 48 tahun itu.

Rais Imran berpendirian, perbuatan tersebut tidak mempunyai sebarang dalihan yang sah di sisi undang-undang melainkan dipacu oleh nafsu tidak bermoral dengan mengambil kesempatan secara tersembunyi.

“Hukuman terhadap tertuduh berpatutan dengan graviti kesalahan kerana mengambil kesempatan mengintai dan merakam wanita itu sedang membuang air besar dalam keadaan separuh bogel.

“Jenayah penyebaran bahan tidak bermoral perlu dikekang dengan menghalang segala bentuk peluang yang membawa kepada penyebaran bahan lucah dalam khalayak umum.

“Tertuduh mengaku bersalah dan ketika ditanya hukuman mana yang sedia diterimanya, tertuduh dengan rela hati menjawab dia memilih untuk dipenjarakan,” ujar beliau dalam alasan penghakiman yang diperolehi pihak media dari laman web mahkamah, hari ini.

Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan menjatuhkan hukuman penjara setahun atas dua kesalahan iaitu memiliki video wanita berusia 48 tahun itu sedang membuang air besar dan gambar lucah dalam telefon bimbitnya, bulan lalu.

Rais Imran memerintahkan Muhamad Aiman menjalani hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman berkuat kuasa serentak bermula tarikh tangkap pada 26 Ogos lalu.

Nelayan itu yang mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan, bagaimanapun memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki, mengintai dan merakam video mangsa yang sedang membuang air besar di tandas sebuah rumah di Pantai Pulau Kundur, Kota Bharu.
Video itu dirakam pukul 7.07 pagi, 31 Mei lalu dengan maksud mengaibkan wanita berusia 48 tahun itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki gambar lucah dalam telefon bimbit dan didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kuala Besar, Kampung Pulau Kundur pukul 11.40 malam pada 26 Ogos lalu.

Menurut fakta kes, Muhamad Aiman ditahan polis di rumah tersebut dan hasil pemeriksaan telefon bimbitnya mendapati video berkenaan dan bahan-bahan lucah disimpan di dalamnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya