SEPANG: Polis meminta bantuan orang awam supaya dapat berkongsi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan insiden sembilan kenderaan melanggar bongkah konkrit di Kilometer 1, Lebuhraya Extension KLIA, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, rakaman itu penting bagi membolehkan pihaknya melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca insiden itu.
Beliau berkata, sehingga kini, hanya lima laporan polis diterima oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA.
“Kami menasihatkan lain-lain mangsa yang terlibat kemalangan ini agar membuat laporan polis seberapa segera,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, seorang penunggang motosikal disahkan cedera ringan selepas melanggar objek berkenaan, manakala lapan buah kereta mengalami tayar pancit selepas merempuh bongkah konkrit.
“Kejadian berlaku apabila bongkah konkrit yang dimuatkan di atas sebuah kenderaan dipercayai lori telah jatuh ke atas lebuh raya.
“Bagaimanapun, saiz bongkah konkrit itu yang tidak begitu besar menyebabkan kenderaan yang melalui lebuhraya itu tidak menyedari objek tersebut lalu melanggarnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati, lapan buah kereta dan sebuah motosikal terlibat dalam kemalangan akibat kecuaian tersebut.
Bagaimanapun, Azman berkata, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan serius yang berlaku kecuali seorang penunggang motosikal yang mengalami kecederaan ringan.
Katanya, saksi bebas atau mana-mana kenderaan yang mempunyai rakaman dashcam ketika objek itu jatuh ke atas jalan raya boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD KLIA, Inspektor Arif Jantan di talian 013-6404165 bagi membantu siasatan kes kemalangan ini.
Pada masa sama, katanya, beliau turut mengingatkan pemandu mana-mana kenderaan perdagangan supaya memastikan barangan atau muatan yang di bawa dalam keadaan kemas dan selamat serta mematuhi setiap peraturan jalan raya. – UTUSAN