SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini, hari ini memutuskan kematian seorang banduan lelaki, mendiang K. Roopan, 25, yang meninggal dunia di Penjara Kajang, tiga tahun lalu adalah semula jadi dan tiada sebarang unsur jenayah.
Koroner Rasyihah Ghazali membuat keputusan itu selepas meneliti semua keterangan saksi dan dokumen kertas siasatan mengenai inkues yang dijalankan sejak tahun lalu.
Rasyihah dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati kematian itu disebabkan ‘pulminory thromboempolism’ atau pembekuan darah dalam saluran anggota badan bawah kiri lelaki berkenaan.
“Berdasarkan keterangan saksi inkues, darah beku itu wujud beberapa minggu sebelum kematian hingga menyebabkan saluran tersumbat dan pecah.
“Mahkamah mendapati unsur kekerasan dan jangkitan Covid-19 bukan menjadi punca kerana si mati tergolong sebagai obesiti sekali gus berisiko menghadapi masalah darah beku,” katanya.
Jelasnya, inkues turut mendapati tiada keterangan jelas kematian itu berpunca unsur penganiayaan, kecuaian dan jenayah.
“Segala keterangan menunjukkan bahawa anggota Penjara Kajang menjalankan tugas bagi memastikan si mati dirawat segera dengan membawa ke klinik penjara dan hospital kerajaan.
“Selain itu, tiada kecuaian dan pengabaian oleh Hospital Kajang yang mengikuti prosedur rawatan. Tiada sebarang unsur jenayah dalam kematian itu,” ujarnya.
Namun, Rasyihah menegaskan, tindakan menempatkan mendiang di Blok Insaf penjara itu bersama empat banduan lain tidak bersesuaian dengan keadaan kesihatan si mati.
“Sel (lokap) di blok bagi proses kuarantin selama 14 hari itu didapati kotor dan tiada aliran udara yang baik. Selain si mati sempat meminta untuk berehat sekali gus menunjukkan bahawa kesihatan dia belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, peguam Shashi Devan yang mewakili keluarga mendiang ketika ditemuj berkata, pihaknya hanya menunggu arahan daripada ahli keluarga bagi tindakan lanjut.
Mendiang Roopan sebelum ini dilaporkan antara dua individu yang ditahan pada 2017 kerana didakwa terlibat dalam tiga kes pembunuhan ketika dia berusia 17 tahun.
Mahkamah Tinggi kemudian mendapati mendiang bersalah pada 2020 dan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan untuk mendengar kesnya pada 29 Jun 2021.
Namun, pada 17 Jun tahun sama, keluarganya menerima panggilan bahawa Roopan dikejarkan ke Hospital Kajang kerana sesak nafas akibat jangkitan jantung dan perlu dimasukkan ke wad selama lima hingga enam hari.
Mendiang kemudian dibenarkan keluar dari hospital sebelum dilaporkan tidak sedarkan diri di penjara, kira-kira pukul 11.30 pagi, 21 Jun tahun itu.
Dia kemudian dikejarkan semula ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari. – UTUSAN